Pages

Wednesday, July 25, 2012

Krishnan minta disegerakan bayaran RM955 juta


SINGAPURA - Bilionair Malaysia, Tan Sri Ananda Krishnan (gambar) semalam meminta mahkamah tinggi di sini supaya menguatkuasakan arahan sebuah pusat timbang tara terhadap rakan perniagaannya dari Indonesia, James Riady supaya membayar sebanyak AS$300 juta (RM955 juta).
Jumlah tersebut diputuskan Pusat Timbang Tara Antarabangsa Singapura pada 2010 selepas mereka bertelingkah berhubung kegagalan kerjasama perkhidmatan televisyen berbayar di Indonesia.
Pusat timbang tara itu diwujudkan bagi menyelesaikan pertikaian perniagaan yang rumit.
Krishnan mengetuai empayar komunikasi Astro di Malaysia manakala Riady mengendalikan konglomerat Kumpulan Lippo Indonesia.
Beliau yang diwakili oleh peguam kanan Britain, David Joseph berhujah di mahkamah bahawa Riady perlu membayar jumlah tersebut kerana Kumpulan Lippo gagal menepati tarikh akhir rayuan keputusan pusat timbang tara berkenaan.
"Tiada proses lain untuk Kumpulan Lippo mencabar keputusan tersebut atau kesahihannya," kata Joseph.
"Keputusan agensi timbang tara ini adalah muktamad dan diiktiraf di bawah undang-undang Singapura. Justeru keputusan ini perlu dikuatkuasakan." tambahnya.
Joseph turut mendedahkan perhubungan melalui surat antara beberapa peguam yang mewakili Astro dan Kumpulan Lippo dalam usaha membuktikan bahawa Riady sedar sepenuhnya berhubung had masa untuk membuat rayuan berhubung keputusan kes itu. - AFP

No comments: