Pages

Wednesday, July 25, 2012

Bashar silap besar jika guna senjata kimia: Obama

DAMSYIK: Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama semalam memberi amaran kepada pemimpin Syria, Bashar al-Assad bahawa beliau melakukan kesilapan besar jika bertindak menggunakan senjata kimia.
Amaran itu dibuat selepas Damsyik mengaku memiliki simpanan senjata itu dan akan menggunakannya jika diserang.

“Memandangkan kepada simpanan senjata kimia Syria, kami mahu menjelaskan kepada Bashar dan pegawainya bahawa dunia memerhatikan mereka.
“Mereka akan didakwa bertanggungjawab oleh masyarakat antarabangsa dan Amerika Syarikat sekiranya melakukan kesilapan besar dengan menggunakan senjata itu,” kata Obama selepas pertemuan dengan veteran Amerika Syarikat di Nevada.

Syria mengaku buat kali pertama ia memiliki senjata pemusnah besar selepas tenteranya menguasai semula sebahagian besar Damsyik ekoran pertempuran sengit selama seminggu.

Pada sidang akhbar di Damsyik Isnin lalu, jurucakap Kementerian Luar, Jihad Makdissi berkata, Syria memiliki senjata kimia dan akan menggunakannya jika diserang oleh tentera asing, tetapi tidak terhadap orang awam negara itu - AFP

No comments: