Pages

Wednesday, July 11, 2012

Hakim tak iktiraf perintah Morsi

Anggota parlimen bersidang selepas diarah Morsi. - Foto AFP
Anggota parlimen bersidang selepas
diarah Morsi. - Foto AFP
 

Kaherah: Mahkamah tinggi Mesir menolak perintah Presiden Mohamed Morsi untuk mengiktiraf semula Parlimen yang diisytiharkan tidak sah, menyebabkan pengganti Hosni Mubarak itu dilihat mencabar tentera yang mahu supaya undang-undang dihormati.

“Semua keputusan Mahkamah Perlembagaan Agung adalah muktamad, tidak boleh dirayu dan semua institusi terikat kepadanya,” menurut kenyataan mahkamah, kelmarin. Majlis Tertinggi Angkatan Tentera (SCAF), yang menyerahkan kuasa kepada Morsi bulan lalu selepas beliau dilantik, menyuarakan pandangan sama dengan mahkamah supaya semua pihak akur kepada perlembagaan dan undang-undang.
SCAF yang memerintah Mesir selepas Mubarak disingkirkan tahun lalu, menekankan mengenai kepentingan Perlembagaan dalam perkembangan terkini, lapor agensi berita rasmi MENA.

Calon parti Islam memperoleh kemenangan besar dalam pilihan raya Parlimen tiga pusingan sejak diadakan November tahun lalu, dengan anggota Ikhwanul Muslimin, menguasai kerusi Dewan Rakyat.

Tetapi, tentera membubarkan Parlimen bulan lalu selepas mahkamah tinggi membuat keputusan kontroversi sehari sebelum pilihan raya presiden pusingan kedua diadakan yang menyaksikan Morsi muncul sebagai presiden Mesir pertama dipilih secara demokrasi.

Mahkamah Perlembangaan Agung berkata, fasal tertentu dalam perundangan yang menetapkan peraturan pilihan raya Parlimen adalah tidak sah yang bermakna dewan yang dikuasai pertubuhan Islam itu tidak sah.
Namun, Morsi, Ahad lalu mengarahkan Dewan Rakyat supaya bersidang semula dan anggotanya berhimpun selama lima minit semalam selepas Speaker Parlimen, Saad al-Katatni, menjemput anggotanya mengadakan pertemuan pada jam 2 petang waktu tempatan semalam, selari dengan perintah kuasa presiden.

Ikhwanul Muslimin berkata, ia akan mengambil bahagian dalam perhimpunan sejuta orang sebagai menyokong keputusan presiden dan menyokong Parlimen.

No comments: