Pages

Friday, June 1, 2012

Pekerja Islam syarikat pengangkutan dibenar pakai tudung

NEW YORK 31 Mei - Pekerja- pekerja syarikat pengangkutan New York beragama Islam dan Sikh dibenarkan memakai penutup kepala mengikut kepercayaan agama masing- masing, sebagai sebahagian daripada penyelesaian undang- undang yang difail di Mahkamah Persekutuan Brooklyn.
Penyelesaian itu menamatkan pertikaian antara plaintif yang mendakwa syarikat New York City Transit yang dikendalikan oleh Lembaga Pengangkutan Metropolitan (MTA) itu mengamalkan polisi 'double standard' berikutan kejadian serangan terhadap Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini pada 11 September 2001.
Penyelesaian itu menyatakan, pekerja syarikat tersebut kini tidak lagi dipaksa memilih memakai penutup kepala yang memiliki logo syarikat terbabit atau bekerja di bahagian yang tidak perlu bertemu dengan khalayak awam
Pekerja beragama Islam dan Sikh syarikat itu kini dibenarkan memakai tudung kepala, serban atau apa sahaja penutup kepala mengikut agama masing-masing dengan syarat ia berwarna biru sama seperti uniform yang ditetapkan syarikat.
Keputusan tersebut menyelesaikan tuntutan mahkamah yang difailkan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat pada 2004 terhadap pihak berkuasa pengangkutan, di bawah Akta Hak Asasi Sivil 1964.
Wakil Pusat Hak Asasi Perlembagaan Manhattan, Shayana Kadidal menyifatkan sekatan tersebut merupakan percubaan dirancang untuk menyembunyikan pekerja yang kelihatan berimej Islam kerana mendakwa ia seakan-akan mengundang ketakutan kepada orang awam.
Seorang daripada plaintif beragama Sikh, Kevin Harrington, merupakan pengendali kereta api bawah tanah yang berjaya menyelamatkan 800 penumpang dalam kenderaan tersebut yang sedang bergerak berdekatan WTC ketika serangan berkenaan.
"MTA memberi penghormatan kepada saya kerana memandu kereta api dalam arah bertentangan daripada bangunan dan membawa penumpang ke tempat selamat," katanya sambil mendakwa dia tidak memakai logo korporat syarikat pada serbannya, ketika itu.
Dalam penyelesaian itu, MTA turut bersetuju membayar ganti rugi penyelesaian sekurang-kurangnya AS$184,500 (RM552,000) kepada lapan pekerja dan bekas pekerja beragama Islam serta Sikh yang mendakwa syarikat tersebut melakukan diskriminasi terhadap mereka. - AGENSI

No comments: