Pages

Friday, June 1, 2012

Rakyat India bantah kenaikan harga petrol

Penyokong Parti Bharatiya Janata (BJP) melaungkan slogan antikerajaan sambil menyekat laluan trafik semasa satu protes membantah kenaikan harga petrol di New Delhi, semalam. - AFP
MUMBAI 31 Mei - Parti pembangkang India hari ini mengadakan demonstrasi di seluruh negara bagi membantah kenaikan harga minyak yang diumumkan minggu lalu.
Demonstrasi berkenaan menyebabkan urusan perniagaan dan kehidupan harian terganggu di bandar-bandar utama termasuk Mumbai, Kolkata dan Lucknow.
Parti-parti politik dan kesatuan perniagaan juga merancang mengadakan perarakan antikerajaan, sekatan jalan raya dan tunjuk perasaan di luar bangunan pejabat bagi menyampaikan rasa marah terhadap pentadbiran Perdana Menteri, Manmohan Singh.
"Kami mengadakan bantahan berhubung kenaikan harga petrol.
"Ramai orang marah dan membantah tindakan itu dan ini merupakan satu-satunya cara sah untuk melakukannya,'' kata jurucakap parti pembangkang utama Parti Bharatiya Janata (BJP), Prakash Javdekar.
Penyokong parti pembangkang di Mumbai meronda di kawasan perumahan bagi memastikan kedai-kedai ditutup dan berkumpul di stesen-stesen pengangkutan awam bagi memastikan perkhidmatan bas dihentikan.
Di Lucknow, penunjuk perasaan menyekat lalu lintas di jalan raya dan stesen kereta api, sementara kebanyakan penduduk juga memilih untuk tinggal di rumah kerana bimbang berlakunya keganasan.
Minggu lalu, firma minyak milik kerajaan meningkatkan harga minyak lebih 11 peratus, kenaikan tertinggi sejak satu dekad lalu. - AP/Agensi
AFP010774138.jpg

No comments: