Pages

Wednesday, June 20, 2012

Obama, Putin gesa konflik Syria ditamatkan

Gambar dikeluarkan saluran televisyen pembangkang Syria, Shaam News Network merakamkan sebuah bangunan rosak teruk akibat bedilan tentera Syria di bandar Homs, kelmarin. - AFP
DAMSYIK 19 Jun - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dan Presiden Rusia, Vladimir Putin menggesa supaya konflik di Syria ditamatkan segera ketika 94 orang dilaporkan terbunuh dalam bedilan meriam terburuk tentera Syria terhadap pemberontak di beberapa bandar di negara ini, semalam.
Bagaimanapun, gesaan itu dibuat ketika Rusia dilaporkan bersiap sedia untuk menghantar dua kapal perangnya bersama pasukan marin ke pangkalannya di Syria selepas pemantau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengantung tugasan mereka di negara ini ekoran peningkatan keganasan.
"Kami mahu pertumpahan darah di Syria dihentikan secepat mungkin," kata kedua-dua pemimpin kuasa dunia itu dalam satu kenyataan bersama selepas membuat pertemuan sampingan ketika menghadiri Sidang Kumpulan 20 di Los Cabos, Mexico, semalam.
Putin memberitahu wartawan bahawa beliau dan Obama 'mempunyai banyak pandangan yang sama' berhubung krisis di Syria yang telah berlanjutan lebih 15 bulan.
Obama pula berkata, beliau dan Putin bersetuju bahawa perlunya 'proses politik' untuk menghentikan konflik dan berikrar untuk bekerjasama dengan PBB dan wakil khas Liga Arab, Kofi Annan dalam menangani krisis tersebut.
Namun dari segi cara menyelesaikan konflik itu, hanya sedikit kata sepakat dicapai ketika pemantau menyatakan krisis Syria telah mengorbankan lebih 14,400 nyawa.
Sementara itu Rusia dilaporkan sedang bersiap sedia menghantar kapal perang amfibia dan pasukan marin ke pangkalan tentera laut mereka di pelabuhan Tartus, Syria, lapor agensi berita Moscow.
Menurut agensi berita Interfax yang memetik pegawai di ibu pejabat tentera laut Rusia, The Nikolai Filchenkov dan The Tsezar Kunikov akan dihantar ke Tartus dengan membawa sejumlah besar anggota marin.
Bagaimanapun tidak ada pengesahan rasmi oleh pihak berkuasa Rusia mengenai laporan itu.
Tentera Syria dalam pada itu melancarkan serangan ke kawasan kubu kuat pemberontak di tengah bandar Homs dan Damsyik dengan pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia menyatakan lebih 94 terbunuh di seluruh negara ini, semalam. - AFP

No comments: