Pages

Wednesday, June 20, 2012

Jumpa rangka jentera dilerai

Som Sak
Som Sak menunjukkan komponen jentera berat yang dirampas di sebuah kedai barang lusuh di Lahat, Ipoh.
TAPAH - Polis Tapah menjumpai rangka jentera berat sudah dileraikan di sebuah kedai menjual barang lusuh di Lahat, Ipoh, pada Sabtu lalu selepas menerima laporan seorang pengadu berusia 50-an yang kehilangan jentera berat di Taman Sri Damai, di sini.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superitendan Som Sak Din Keliaw berkata, laporan kehilangan jentera berat yang dibuat pada Jumaat lalu itu membawa kepada penahanan dua lelaki berusia lingkungan 50-an dipercayai mempunyai kaitan dengan kes tersebut.

Menurutnya, selain menahan dua suspek, polis turut merampas komponen jentera berat yang dileraikan di sebuah kedai menjual barangan lusuh di Lahat, Ipoh.

"Jentera berat itu dileraikan pada masa yang singkat kerana dipercayai dilakukan oleh mereka yang mahir.

"Kedua-dua suspek dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah bagi tindakan lanjut dan hasil siasatan awal terhadap keduadua suspek, kami mendapat satu lagi maklumat bahawa dua lelaki berusia lingkungan 40-an tinggal di Ipoh mempunyai kaitan dengan kes ini," katanya kepada Sinar Harian.

Kata beliau, kini, polis berusaha mengenal pasti identiti suspek bagi membantu siasatan dalam kes ini.

Jelasnya, salah seorang suspek yang ditahan merupakan pemilik kedai menjual barangan lusuh di Lahat, Ipoh manakala seorang lagi merupakan individu bertanggungjawab menjual jentera berat itu kepada kedai berkenaan daripada dua suspek yang sedang dicari.

"Kerugian yang ditanggung pemilik dianggarkan RM200,000 dan kes disiasat dibawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika disabitkan kesalahan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian jenayah serta lain-lain maklumat boleh menghubungi hotline IPD Tapah 05-4015222 atau SMS rakan Cops 32728 ataupun terus ke balai polis berdekatan,” katanya.

No comments: