Pages

Tuesday, May 29, 2012

Rakyat dibedil dengan meriam


Penduduk Homs menghadiri majlis pengebumian beramai-ramai mangsa yang maut akibat bedilan meriam tentera rejim di Houla, berhampiran Homs, kelmarin. - REUTERS
GENEVA 28 Mei - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan kuat mengecam kerajaan Syria kerana menggunakan meriam dalam pembunuhan beramai-ramai yang menyebabkan sekurang-kurangnya 180 orang terbunuh dan 300 lagi cedera sejak Jumaat lalu.
Pegawai-pegawai PBB berkata, pembunuhan kejam di Houla yang menjadi tajuk perbincangan ketika mesyuarat kecemasan Majlis Keselamatan semalam, turut menyebabkan 49 kanak-kanak dan 34 wanita terbunuh.
Rusia, sekutu kuat Syria, turut menandatangani kenyataan Majlis Keselamatan yang 'mengecam dengan kuat' pembunuhan di perkampungan berhampiran pusat tunjuk perasaan di bandar Homs itu.
Menurut kenyataan, angka korban telah disahkan oleh pemantau PBB dan menyatakan kematian berpunca daripada 'serangan melibatkan beberapa siri tembakan meriam dan bedilan kereta kebal kerajaan ke atas penduduk'.
Majlis yang dianggotai 15 negara itu turut membuat tuntutan baru terhadap Presiden Bashar al-Assad, mendesak beliau mengundurkan senjata berat dari kawasan penduduk dan mahu 'mereka yang bertanggungjawab melakukan keganasan dihukum'.
Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon dan wakil damai Liga Arab-PBB, Kofi Annan menyifatkan pembunuhan beramai-ramai di Houla sebagai 'tindakan yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa'.
Sementara itu, beribu-ribu orang mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan di seluruh Syria semalam bagi menentang pembunuhan di Houla.
Britain dan Perancis mencadangkan supaya PBB mengambil tindakan berbanding hanya membuat kecaman keras ke atas kerajaan Syria.
Namun, Rusia tidak bersetuju dan mahu satu mesyuarat khas diadakan sebelum meluluskannya.
Kerajaan Syria menafikan bertanggungjawab atas insiden itu dan Rusia masih tidak menerima jika Damsyik dipersalahkan. - AFP

No comments: