Pages

Tuesday, May 29, 2012

Umar Patek perlu dipenjara kurang 15 tahun


JAKARTA 28 Mei - Peguam bela kepada suspek pengeboman Bali, Umar Patek hari ini bertegas bahawa anak guamnya itu hanya memainkan peranan kecil dan perlu diberikan hukuman penjara kurang daripada 15 tahun.
Pendakwa raya minggu lalu mencadangkan supaya Umar dikenakan hukuman penjara seumur hidup kerana mengetuai pengeboman ke atas dua kelab malam di Bali pada 2002 yang mengorbankan 202 orang dan serangan gereja menjelang Krismas pada tahun 2000.
“Hakim perlu menjatuhkan hukuman penjara kurang daripada 15 tahun kepada anak guam kami," kata seorang daripada peguam Umar, Asludin Hatjani kepada wartawan ketika di luar Mahkamah Daerah Jakarta Barat hari ini.
Asludin sebelum itu memberitahu mahkamah, Umar hanya ‘memainkan peranan kecil’ dalam kedua-dua serangan itu.
“Bom itu hampir siap sepenuhnya ketika dia tiba di Bali. Dia hanya membantu mencampurkan baki bahan letupan," katanya.
Umar yang merupakan anggota rangkaian pengganas Jemaah Islamiyah (JI), ditahan di Abbottabad, Pakistan pada tahun lalu, empat bulan sebelum tentera elit Amerika Syarikat (AS) membunuh pemimpin al-Qaeda Osama bin Laden di bandar itu.
Pendakwa raya pada minggu lalu menuntut supaya hukuman ke atas Umar diringankan selepas dia menyesal atas tindakannya itu dan memberikan kerjasama dalam kes tersebut.
Sejak perbicaraan bermula pada Februari lalu, Umar mengaku mencampurkan bahan kimia untuk membuat bom, tetapi menafikan sebarang penglibatan besar. - AFP

No comments: