Pages

Tuesday, May 29, 2012

Bukti baru komplot pembunuhan Iran


WASHINGTON 28 Mei - Penyiasat dari empat negara berjaya mengumpul bukti baru yang mengaitkan cubaan membunuh pegawai dan ahli perniagaan sama ada dibiaya oleh pergerakan Hezbollah, yang mendapat sokongan Iran atau kumpulan yang beroperasi di negara itu, lapor akhbar The Washington Post, hari ini.
Memetik kenyataan pegawai keselamatan Amerika Syarikat (AS) dan Asia Barat yang tidak mahu namanya disiarkan, bukti itu termasuk rekod telefon, ujian forensik serta penyusunan koordinasi perjalanan termasuk kad telefon bimbit yang dibeli di Iran dan digunakan oleh beberapa suspek penyerang.
Tahun lalu, Azerbaijan membongkar rancangan pembunuhan kakitangan Kedutaan AS atau ahli keluarga mereka di negara itu.
Namun, plot tersebut hanya satu daripada beberapa yang dirancang. Kumpulan yang beroperasi di Iran turut dikaitkan dengan cubaan membunuh diplomat luar sekurang-kurangnya di tujuh negara sepanjang 13 bulan ini, lapor akhbar itu lagi.
Sasaran itu termasuk dua pegawai Arab Saudi, enam Israel dan dalam kes Azerbaijan, beberapa warga AS.
Cubaan itu bagaimanapun senyap tiba-tiba pada awal musim bunga lalu, ketika Iran mula mengubah pandangan mengenai perang anti Barat dan mengancam menutup laluan utama perkapalan di Terusan Suez.
Mac lalu, pegawai Iran secara formal menerima cadangan meneruskan rundingan dengan enam kuasa dunia mengenai cadangan menghentikan program nuklearnya.
"Mereka kelihatan secara sengaja cuba berlagak seperti tiada apa-apa berlaku. Apa akan terjadi seandainya rundingan itu gagal? Perkara itu kini menjadi persoalan semua," kata seorang diplomat Barat yang tidak mahu dikenali.
Akhbar itu turut menyatakan, tidak dipastikan sama ada cubaan tersebut arahan daripada pegawai kerajaan Iran atau dilakukan oleh pihak yang diluluskan kumpulan proksi seperti Hezbollah.
Kebanyakan pegawai AS dan pakar Asia Barat melihat insiden itu sebahagian daripada perang bayangan yang sedang berlaku dalam pelbagai bentuk terselindung, yang mana warga Iran juga turut menjadi mangsa.
Ia terbukti apabila empat saintis yang bekerja dengan program nuklear Iran dibunuh oleh penyerang tidak dikenali tiga tahun kebelakangan ini dan laman web nuklear Iran kucar-kacir akibat diceroboh penyerang siber. - AFP

No comments: