Pages

Thursday, May 3, 2012

Pengganas bawa bom dalam badan

Berita Harian Online | Pengganas bawa bom dalam badan:

WELLINGTON: Amerika Syarikat sedang memantau kemungkinan beberapa kumpulan pengganas merancang untuk menjatuhkan pesawat dengan memasukkan bahan letupan dalam tubuh manusia, kata ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Janet Napolitano, semalam. 

Ketika menekankan bahawa belum ada bukti ditemui mengenai ancaman terbaru itu yang juga dipanggil ‘bom tubuh’, beliau juga berkata, ada kemungkinan ia antara strategi serangan pada masa depan yang perlu diselesaikan anggota keselamatan.
Beliau merujuk kepada kes warga Nigeria dikenali pengebom seluar dalam, Umar Farouk Abdulmutallab yang cuba meletupkan sebuah pesawat pada 2009 dengan menyembunyikan bahan letupan dalam seluar sebagai satu contoh inovasi yang dibuat militan.
“Adalah wajar untuk mengatakan musuh menggunakan beberapa cara untuk membawa bahan letupan dalam pesawat seperti yang dilakukan pengebom seluar dalam,” katanya kepada pemberita di sini. 

“Satu lagi cara ialah dengan memasukkan bahan letupan dalam badan. 

“Adakah kami ada bukti kukuh yang khusus terhadap ancaman seperti itu? Saya katakan tidak. Apa yang penting ialah kita semua sentiasa memikirkan bentuk ancaman akan datang sebagai orang yang sering ke luar negara dan amat sensitif terhadap segala ancaman.” 

Napolitano berada di Wellington untuk menandatangani satu perjanjian perkongsian maklumat bersama New Zealand. 
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan secara khusus langkah yang diambil untuk memantau ancaman bom seperti itu. 

“Kita selalu buat perubahan, sebahagiannya mengenai membuat jangkaan perkara yang sukar dijangkakan. 

“Kita tidak mahu musuh mampu buat jangkaan langkah yang mungkin mereka hadapi di mana-mana lapangan terbang, pada bila-bila masa,” katanya. 

Abdulmutallab berjaya menyeludup lebih 76 gram bahan letupan Pentaerythritol tetranitrate (PETN) ke sebuah pesawat Northwest Airlines ke Detroit dari Amsterdam pada Krismas 2009.– AFP

No comments: