Pages

Thursday, May 3, 2012

Orang Islam kian ramai di AS

Berita Harian Online | Orang Islam kian ramai di AS:

Bilangan Muslim capai 2.6 juta di Midwest, selatan Amerika Syarikat

CHICAGO: Bilangan penduduk Islam Amerika Syarikat dilaporkan bertambah sejak sedekad lalu dan buat pertama kali mengatasi penduduk Yahudi di kebanyakan kawasan Midwest dan Selatan, manakala kebanyakan gereja utama pula mula susut pengunjung, menurut satu bancian agama yang disiarkan kelmarin. 

Bilangan penduduk Islam meningkat kepada 2.6 juta pada 2010 daripada 1 juta pada 2000 berpunca daripada peningkatan penghijrahan dan mereka yang memeluk Islam, kata penyelidik yang membuat kajian dengan Persatuan Statistik Badan Agama Amerika, Dale Jones.
“Kristian adalah kumpulan terbesar di setiap negeri tetapi kami dapati sesuatu menarik ialah pertumbuhan pengikut Mormon yang mencatat peningkatan terbesar di 26 negeri,” kata Jones yang membentangkan laporan itu pada satu persidangan di Chicago.
Nama rasmi gereja utama Mormon berasal di Utah ialah The Church of Jesus Christ of Latter-day Saints. 

Bilangan pengikut Mormon bertambah sebanyak 45 peratus kepada 6.1 juta pada 2010, berdasarkan bancian yang meminta 236 pemimpin agama mengira penganut mereka. Ahli keluarga juga termasuk dalam kiraan itu. 

Secara kasar, sebanyak 55 peratus rakyat Amerika menghadiri sesi di gereja, kata data terbabit. Pada masa sama, kebanyakan kajian menganggarkan secara purata 85 peratus rakyat Amerika mengakui percaya kepada agama, walaupun mereka mungkin tidak ke gereja. 

Kira-kira 158 juta rakyat Amerika dikelaskan sebagai ‘tidak mengikuti mana-mana agama’ dalam kajian itu. Ketika membandingkan agama utama, kajian itu mendapati bahawa pengikut Katolik, kumpulan penganut agama terbesar merosot sebanyak lima peratus kepada 58.9 juta sejak 10 tahun lalu. 
“Pengikut Katolik menunjukkan jumlah penurunan terbesar khususnya di Maine yang menjadi lokasi skandal seorang paderi hingga mencetuskan perhatian ramai,” kata Jones. Di New England, bilangan majlis pengebumian penganut Katolik mengatasi jumlah anggota baru, katanya. 

Antara agama besar lain di Amerika, pengikut Southern Baptist Convention adalah stabil pada 19.9 juta sepanjang dekad itu, United Methodist Church pula merosot sebanyak empat peratus kepada 9.9 juta pengikut manakala Evangelical Lutheran Church kehilangan 18 peratus kepada 4.2 juta dan Episcopal Church kehilangan 15 peratus daripada pengikutnya kepada 1.95 juta. 

Jemaah Protestan Evangelical pula terus berkembang walaupun secara perlahan kepada 50 juta penganut. 

Apa yang mengejutkan ialah peningkatan penganut agama bertempat di kawasan bandar dan kebanyakannya membabitkan kumpulan kurang daripada 100 ahli serta tidak membabitkan kawasan yang menempatkan gereja besar, kata Jones. – Reuters

No comments: