Pages

Thursday, April 12, 2012

Pemisah mahu tunjuk kuat




GABENOR Yala, Dejrath Simsiri (tengah) bersama Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Yala, Baba Hussein Dumidey (enam dari kanan) dan orang ramai membaca doa selamat pada majlis perjumpaan ulama dan orang Islam di kawasan yang terlibat dengan pengeboman di Yala, selatan Thailand, semalam.


YALA 11 April - Tentera Thailand menyifatkan puak pemisah Barisan Revolusi Nasional Coordinat (BRN-C) tidak mendapat sokongan daripada penduduk di tiga wilayah selatan negara itu.
Komander Task Force Yala, Mejar Jeneral Patinun Sayhatsadee berkata, jumlah anggota pemisah tersebut terlalu kecil dan mereka hanya mahu menunjukkan kekuatan dengan melakukan dua siri serangan bom secara serentak di bandar ini dan Hatyai pada 31 Mac lalu.
Beliau berkata, tindakan pemisah terbabit yang melancarkan serangan ganas sebenarnya ditolak sama sekali oleh rakyat.
“Siri serangan ganas di wilayah ini semakin berkurangan jika dibandingkan sejak lapan tahun lalu disebabkan kita telah meningkatkan tahap keselamatan dan serangan minggu lepas hanya untuk menunjukkan bahawa mereka masih kuat.
“Sebenarnya jumlah mereka hanya kecil dan kumpulan ini juga didalangi oleh ‘pihak tertentu’ yang mahu melihat wilayah ini terus bergolak bagi memastikan kerja-kerja jahat mereka terus tercapai,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada wartawan Malaysia selepas majlis bersama pemimpin masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Yala di sini, semalam.
Patinun berkata, ‘cakap-cakap’ bahawa tentera turut terlibat dalam siri serangan bom tersebut adalah fitnah yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Puak-puak ini masuk ke kampung dan menyebarkan fitnah bahawa kami turut terlibat, mereka sengaja membina persepsi bagi memastikan rakyat benci kepada petugas keselamatan.
“Kami datang ke sini untuk menjaga keamanan dan bukannya untuk berperang, kami membantu rakyat dari semua aspek, ekonomi, pendidikan dan sosial terutama di kawasan yang tidak dicapai oleh agensi kerajaan lain,” katanya.
Beliau turut mengakui Task Force 2010 (Malaysia) yang bekerjasama dengan Task Force 960 (Thailand) telah banyak membantu mewujudkan keyakinan rakyat dan amat penting dalam memastikan keamanan di wilayah terbabit.
Katanya, sehingga kini tedapat lebih 50,000 anggota tentera di tiga wilayah tersebut dan jumlah itu akan dikurangkan secara beransur-ansur apabila keadaan semakin pulih.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Yala, Thamasak Wasasiri berkata, pihaknya telah mengenal pasti mereka yang terlibat dalam siri serangan bom di pusat bandar itu.
“Kita telah menahan seorang lelaki untuk membantu siasatan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup.
“Sebelum siri serangan bom ini, kumpulan ini telah mencuri tiga pikap dan sebuah kereta jenis Honda Civic, mereka telah menggunakan kenderaan untuk melancarkan serangan di pos kawalan sukarela yang diwujudkan oleh penduduk kampung pada hari Jumaat sehari sebelum serangan bom,” katanya.

No comments: