Pages

Thursday, April 12, 2012

Homs terus kena bedil

BEIRUT: Tentera Syria membedil bandar Homs semalam dan menyerang beberapa daerah yang dikuasai pemberontak, menyebabkan lapan terbunuh.
Serangan itu dibuat sehari selepas rancangan damai liga Arab dan PBB dijangka berkuatkuasa.
Bagaimanapun, wakil khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)-Liga Arab, Kofi Annan berkata masih ada peluang untuk beliau membantu menghentikan peperangan.

Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Syria, berkata tentera yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad membedil menggunakan senjata berat di kawasan lama Khaldiyeh, Juret al-Shayah dan Qarabreed yang terletak di tengah bandar Homs.


Kumpulan yang berpangkalan di Britain itu berkata tiga orang awam terbunuh dalam serangan berkenaan.

Aktivis Khaled al Talawi berkata dari Homs, serangan itu disambung pada sebelah pagi menggunakan meriam dan mortar.

Juga di bandar Homs, tiga orang awam termasuk seorang kanak-kanak dan wanita terbunuh di Qusayr, dekat dengan sempadan Lubnan.

Dua lagi orang awam ditembak mati ketika serangan oleh tentera kerajaan yang memburu pemberontak di Qurayyah, di bahagian timur wilayah Deir Ezzor.

Tentera Syria juga melakukan serangan di selatan wilayah Daraa, bahagian paling kuat menentang rejim Presiden Bashar al-Assad sejak setahun lalu.

Tentera yang tiba dengan beberapa bas dan kenderaan persendirian dihantar ke Maarabar dan tembakan boleh didengar di sekitar kampung.

Mereka turut menyerbu kampung Ankhal.

Kumpulan aktivis Jawatankuasa Penyelaras Tempatan berkata, helikopter dilihat berlegar di beberapa bandar pinggir Damsyik.

Pemerhati berkata pusat pemeriksaan tentera di Harasta, luar Damsyik, diperkukuh.

Lima orang dikatakan ditahan ketika serbuan dibuat di Hama.

Seorang penduduk, Abu Ghazi dari Hama berkata, pasukan keselamatan menyerbu bandar Halfaya dan “menahan orang awam secara rambang.”

Pasukan tentera juga membedil kawasan Jabal al-Akrad, di pesisiran wilayah Latakia.

Di Allepo, wilayah utara Syria, tentera rejim meneruskan serangan membedil bandar Marea dan kampung berdekatan selama dua hari berturut-turut, menurut aktivis Mohammed al-Halabi.

“Tentera rejim menyerang satu demi satu bandar bermula dengan Andan dan Haraytan kemudian Mang dan Aazaz sebelum mara ke Tal Rifaat dan sekarang di Marea,” katanya.

Seramai 52 orang termasuk 28 orang awam terbunuh dalam serangan kelmarin, kata pemerhati.

Mereka termasuk 19 tentera dan lima pemberontak. menjadikan jumlah kematian sejak hujung minggu kepada sekurang-kurangnya 337.

Kerajaan Syria kelmarin berkata, ia mengikut rancangan untuk mengundurkan tentera tetapi Annan menuduh ia mengarahkan pengunduran di sesetengah kawasan tetapi menghantar mereka ke tempat lain. - AFP 

No comments: