Pages

Wednesday, April 11, 2012

Gencatan senjata di Syria gagal




Imej daripada satu rakaman video diambil dari Youtube menunjukkan kereta-kereta kebal rejim Syria bergerak ke bandar Qusur, di Homs, Syria, kelmarin. - AFP


DAMSYIK 10 April - Menteri Luar Syria, Walid Muallem hari ini berkata, kerajaan sudah pun mengundurkan sebahagian tenteranya dari beberapa bandar di negara ini dan gencatan senjata tajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mesti bermula serentak dengan penempatan misi pemantau antarabangsa.
Pelan damai yang dirangka oleh duta khas PBB-Liga Arab, Kofi Annan menghendaki rejim Presiden Bashar al-Assad mengundurkan tenteranya dari kawasan berpenduduk mulai hari ini, disusuli 48 jam kemudian dengan gencatan senjata oleh kerajaan dan pemberontak.
"Kami telah pun mengundurkan askar dan unit tentera dari beberapa wilayah di Syria," kata Muallem selepas rundingan di Moscow dengan rakan sejawatannya dari Rusia, Sergey Lavrov.
Kenyataan Muallem itu bagaimanapun disifatkan sebagai pembohongan oleh seorang pemimpin penentang rejim Syria, Syeikh Anas Airout yang berkata, tentera belum berundur dari mana-mana kawasan bergolak di negara ini.
"Apa yang diperkatakan oleh Muallem di Moscow adalah pembohongan semata-mata dan sebahagian daripada helah rejim Syria," kata Airout yang menganggotai Majlis Kebangsaan Syria (SNC).
Malah tentera Syria dilaporkan membedil sebuah kampung dan mengerahkan askar tambahan ke sebuah lagi kubu pemberontak hari ini.
Tentera rejim membedil Marea di wilayah Aleppo selepas mengambil kedudukan di sekeliling kampung itu, lapor Pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia.
Ketua pertubuhan berpangkalan di Britain itu, Rami Abdel Rahman memberitahu AFP menerusi telefon, kereta kebal tentera membedil Marea, sementara helikopter berlegar-legar di atas kampung itu.
Tentera turut melepaskan tembakan mortar ke kampung-kampung di Homs dan mengerahkan askar tambahan ke bandar Rastan di wilayah itu, tetapi keadaan agak tenang di tempat lain, katanya, berikutan hari paling berdarah dalam kempen Assad untuk menghancurkan pemberontak.
Abdel Rahman berkata, tidak ada tanda menunjukkan pengunduran tentera rejim dari mana-mana bandar di negara ini.
Keganasan semalam menyebabkan sekurang-kurangnya 105 orang maut, termasuk 74 penduduk awam, menjadikan angka korban dalam tempoh tiga hari lalu hampir mencecah 300 orang.
Negara-negara jiran turut menerima tempias keganasan itu semalam, apabila tembakan dari Syria mencederakan empat pelarian Syria dan dua kakitangan rakyat Turki di sebuah kem di seberang sempadan di Turki, dan membunuh seorang jurukamera televisyen di kawasan sempadan di Lebanon. - AFP

No comments: