Pages

Wednesday, April 11, 2012

Kios data di pondok telefon




Orang ramai melalui pondok telefon di New York, Amerika Syarikat, kelmarin. Sebanyak 250 pondok telefon di bandar raya ini akan diubah menjadi kios maklumat dilengkapi skrin sesentuh 32 inci. - AFP


NEW YORK 10 April - Beratus-ratus pondok telefon lama di sekitar bandar raya ini akan diubah menjadi kios maklumat dilengkapi kemudahan Internet dengan skrin sesentuh yang menawarkan data mengenai kawasan setempat.
Menurut pejabat datuk bandar New York semalam, program perintis yang akan dimulakan pada bulan depan itu melibatkan 250 pondok telefon yang akan dilengkapi dengan skrin sentuh 32 inci.
Jurucakap isu-isu teknologi New York, Nicholas Sbordone berkata, gajet itu dilengkapi beberapa bahasa dan disasarkan kepada pelancong serta penduduk yang mahu mengetahui maklumat mengenai restoran, promosi jualan atau tempat menarik di sekitar bandar raya ini.
Ia turut akan menjadi talian terus kepada 311 nombor telefon yang mengendalikan aduan bukan kecemasan serta pertanyaan kepada pihak berkuasa bandar raya.
Buat masa ini, skrin sesentuh itu hanya menyediakan maklumat mengenai New York dan tidak boleh digunakan untuk mengakses Internet.
Bagi pondok telefon berkembar pula, hanya satu daripadanya sahaja yang akan ditukar menjadi pondok maklumat, sementara satu lagi dikekalkan.
Jika program perintis itu berjaya dilaksanakan, ia akan diperluaskan kepada 12,800 pondok pad skrin sesentuh dan dinaik taraf supaya berkeupayaan mengendalikan e-mel serta membuat panggilan telefon Skype. - AFP

No comments: