Pages

Friday, March 23, 2012

Syria digesa laksana pelan damai



NEW YORK 22 Mac - Majlis Keselamatan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semalam menuntut Syria melaksanakan segera pelan damai yang dikemukakan oleh utusan khas PBB-Liga Arab, Kofi Annan.
Rusia dan China yang menyekat dua resolusi berhubung Syria sebelum ini, turut menyokong satu kenyataan Majlis Keselamatan yang menggesa Presiden Bashar al-Assad mengambil langkah untuk menghentikan pertempuran dan memulakan peralihan kepada demokrasi.
Dalam kenyataan yang dirangka oleh kuasa Barat itu, Majlis Keselamatan turut memberi amaran tersirat bahawa tindakan antarabangsa boleh diambil pada masa depan ke atas Syria.
Kenyataan tersebut, yang tidak mempunyai kekuatan yang sama seperti resolusi rasmi, melahirkan sokongan padu terhadap pelan damai enam perkara yang dibentangkan oleh Annan kepada Assad semasa rundingan di Damsyik baru-baru ini.
Di Kuala Lumpur, Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon berkata, beliau berharap kata sepakat yang dicapai di kalangan 15 negara anggota Majlis Keselamatan, semalam akan menandakan 'titik peralihan' menyelesaikan krisis yang telah meragut lebih 8,000 nyawa itu.
"Saya berharap tindakan tegas dan kata sepakat yang diambil oleh Majlis Keselamatan akan menandakan titik peralihan dalam tindak balas masyarakat antarabangsa terhadap krisis itu," kata Ki-moon yang dalam lawatan dua hari ke Kuala Lumpur, hari ini. - AFP

No comments: