Pages

Friday, March 23, 2012

Malaysia mungkin kena sekatan



WASHINGTON 22 Mac - Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), semalam menyiarkan senarai 12 negara termasuk Malaysia yang membeli minyak mentah Iran dan boleh dikenakan sekatan kewangan oleh AS jika mereka tidak mengurangkan pembelian minyak itu dengan banyak.
Jabatan Negara AS, kelmarin menyiarkan bilangan negara terlibat tanpa menyebut nama mereka, selepas mengumumkan bahawa Washington akan mengecualikan Jepun dan 10 negara Kesatuan Eropah (EU) daripada sekatan kewangan kerana telah banyak mengurangkan pembelian minyak dari Iran.
Negara-negara yang diberi pengecualian itu terlepas selama enam bulan ancaman diputuskan daripada sistem kewangan AS di bawah sekatan yang bertujuan untuk mengenakan tekanan ke atas Iran supaya menghentikan program nuklearnya.
Barat mengesyaki program nuklear Iran bertujuan untuk mengeluarkan senjata atom tetapi Teheran menegaskan bahawa program itu hanya untuk menjana tenaga elektrik.
Sebelum ini satu sumber kerajaan AS yang bukan daripada Jabatan Negara menyiarkan senarai 13 negara yang tidak mendapat pengecualian dan boleh dikenakan sekatan, kerana telah menerima sekurang-kurangnya satu kargo minyak mentah Iran sejak awal 2011 hingga awal 2012.
Senarai itu termasuk Maghribi, tetapi seorang pegawai Jabatan Negara semalam berkata, mengikut maklumat yang diterimanya, kali terakhir Maghribi membeli minyak mentah Iran ialah pada Jun 2010 dan dengan itu tidak termasuk dalam senarai 12 negara yang boleh menghadapi sekatan.
Pegawai tersebut menyiarkan senarai 12 negara berikut yang boleh dikenakan sekatan, termasuk China dan India selaku dua pengimport terbesar minyak mentah Iran, serta Korea Selatan yang merupakan pembeli keempat terbesar. - Reuters

No comments: