Pages

Monday, February 20, 2012

Serangan didalangi Zionis


BANGKOK 19 Feb. - Duta Iran ke Thailand, Majid Bizmark (gambar) menyatakan, pengeboman di Bangkok dirancang oleh rejim Zionis sebagai satu provokasi terhadap imej Iran dan hubungan Iran-Thailand.
"Jika diperhatikan isu ini dengan teliti, kita boleh melihat dalang di sebalik komplot ini.
"Ada sesuatu yang saya tidak boleh nyatakan, tetapi seperti yang saya katakan, suspek utama adalah Zionis," katanya dalam satu wawancara dengan akhbar tempatan, The Nation.
Bizmark berkata, Iran mengutuk sekeras-kerasnya pihak yang bertanggungjawab di atas pengeboman tersebut.
Katanya, Kedutaan Iran juga sangsi dengan kenyataan yang menyatakan bahawa dua suspek yang ditahan pihak berkuasa Thai dan Malaysia merupakan rakyatnya, walaupun menurut jabatan imigresen suspek tersebut mempunyai pasport Iran.
"Kami tidak kenal siapa mereka. Mereka mungkin sesiapa sahaja," katanya.
Satu letupan di sebuah rumah dua tingkat di Bangkok pada 14 Februari lalu membawa kepada penahanan dua rakyat Iran iaitu Saeid Morat, 28, yang putus kedua-dua belah kakinya dalam letupan itu dan Mohamad Khazaei di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi di sini.
Seorang lagi suspek, Zedhaghat Zadech Masoud, 31, ditahan di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang, Malaysia sehari kemudian.
"Anda boleh lihat senario yang sama turut berlaku di negara lain sejak beberapa bulan lalu. Ia seperti rangkaian yang berlaku, satu demi satu.
"Ia juga menunjukkan siapa dalang sebenarnya, yang amat berbahaya kepada kestabilan dan keamanan di rantau ini," kata Bizmark. - Agensi

No comments: