Pages

Monday, February 20, 2012

Pesakit barah meninggal dunia


ABDUL GHANI menyiramkan air mawar di pusara Mohd. Zulhafiz di Tanah Perkuburan Islam, Felda Bukit Goh, Kuantan semalam.


KUANTAN - Pesakit barah tulang, Mohd. Zulhafiz Abdul Ghani (gambar kecil), 21, menghembus nafas terakhir pada pukul 8.55 malam kelmarin di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.
Menurut bapanya, Abdul Ghani Mohamed, 64, anak bongsu daripada lima beradik itu meninggal dunia ketika ditemani semua ahli keluarga di hospital tersebut.
"Seminggu sebelum ini, ketumbuhan di bahu kirinya tiba-tiba pecah lalu mengeluarkan darah dan cecair yang banyak.
"Akibat itu, arwah dilihat menahan kesakitan kerana terdapat kesan lubang sebesar bola pingpong dan ketumbuhan itu mengecil," katanya.
Abdul Ghani berkata demikian ketika ditemui selepas selesai urusan pengebumian Mohd. Zulhafiz pada pukul 11 pagi semalam di Tanah Perkuburan Islam, Felda Bukit Goh di sini.
Kosmo! 31 Januari lalu melaporkan penderitaan yang ditanggung Mohd. Zulhafiz disebabkan ketumbuhan seberat 20 kilogram di bahu kirinya sejak hampir setahun lalu.
Susulan itu, dia diberikan rawatan paliatif bagi mencuci luka serta mengeluarkan nanah oleh pihak HTAA selepas disahkan menghidap kanser tulang tahap akhir.
Ujar Abdul Ghani lagi, pihak hospital memaklumkan kematian Mohd. Zulhafiz disebabkan jangkitan kuman di paru-paru serta beberapa organ lain akibat penyakit tersebut.
"Kami sekeluarga menyimpan niat untuk mengadakan kenduri kesyukuran kalau dia sembuh. Tapi hajat itu tidak kesampaian dan kami reda," kata Abdul Ghani.
Dalam pada itu, ibunya, Safiah Lebai Yahya, 58, pula berkata, Mohd. Zulhafiz pernah meminta untuk dibawa pulang ke rumah kerana sudah tidak mampu menahan penderitaan.
"Akhirnya dia 'pulang' juga dan saya reda kerana Allah lebih sayangkan dia.
"Kami sekeluarga juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberi sumbangan kepada arwah sebelum ini," katanya.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

No comments: