Pages

Saturday, February 11, 2012

Mahkamah tolak rayuan Gilani


pix_gal0ISLAMABAD: Mahkamah tinggi Pakistan menolak rayuan Perdana Menteri, Yousuf Raza Gilani, semalam dan mengarahkan beliau hadir di mahkamah Isnin ini untuk berdepan dakwaan menghina institusi kehakiman itu.

Mahkamah Agung mengekalkan arahan 2 Februari lalu supaya Gilani hadir untuk berdepan dakwaan menghina mahkamah berhubung keengganan kerajaan meminta pihak berkuasa Switzerland untuk membuka semula kes rasuah terhadap Presiden Asif Ali Zardari.

Jika disabitkan, Gilani berdepan hingga enam bulan penjara dan disingkirkan daripada jawatan dalam kes yang disifatkan ramai pemerhati berkemungkinan memberi tekanan berat kepada kerajaan untuk mengadakan pilihan raya awal dalam masa beberapa bulan ini.
“Rayuan ditolak,” kata Ketua Hakim, Iftikhar Muhammad Chaudhry.

Zardari dan isterinya, Benazir Bhutto, disyaki menggunakan akaun bank Swiss untuk menyimpan kira-kira AS$12 juta (RM36 juta) didakwa dalam bentuk rasuah dibayar oleh syarikat yang mahukan kontrak pemeriksaan kesihatan di Pakistan pada 1990-an.

Khamis lalu, Chaudhry berkata mahkamah akan menggugurkan saman itu jika Gilani mematuhi arahan menulis surat kepada pihak berkuasa Switzerland, meminta mereka membuka semula kes bertarikh dua tahun lalu.

Semalam, Chaudhry sekali lagi menegaskan mahukan jawapan jelas mengenai sama ada Gilani akan menulis surat itu dan memberitahu peguamnya: “Kami sedia memberikan anda masa 10 minit untuk bercakap dengan Perdana Menteri menerusi telefon dan beritahu kami jawapannya.”
“Saya tidak ada mandat melakukan perkara itu,” jawab peguam Gilani, Aitzaz Ahsan.

Bercakap kepada wartawan di luar mahkamah, Ahsan mengesahkan Gilani akan hadir di mahkamah Isnin lalu.

Kerajaan Switzerland mengenepikan kes itu pada tahun 2008, apabila Zardari menjadi ketua negara dan pendakwa di Switzerland berkata mustahil membuka semula kes berkenaan selagi dia kekal menjadi presiden dan kebal daripada sebarang pendakwaan.

Anggota kerajaan menuduh hakim bertindak melampaui kuasa dan cuba menjatuhkan Perdana Menteri dan Presiden, setahun sebelum pentadbiran sedia ada menjadi yang pertama di Pakistan menamatkan penggal mereka.

“Beritahu Perdana Menteri mengingkari perintah mahkamah tidak disukai di negara ini,” kata Chaudhry kepada Ahsan.

Gilani sendiri hadir di Mahkamah Agung 19 Januari lalu dan menjelaskan mengenai kekebalan Zardari sebagai penjelasan keengganan presiden itu mematuhi perintah mahkamah.

Pakar perundangan berkata, Gilani cuma boleh mengelak daripada didakwa dengan memfailkan rayuan, meminta maaf atau berjanji menulis surat kepada kerajaan Switzerland.

Zardari yang dicemari dengan tuduhan rasuah sehingga menyebabkan dia diberi gelaran Mr 10 Percent sudah pun dihukum penjara 11 tahun atas pelbagai dakwaan daripada rasuah hingga membunuh. – AFP
Berita Harian Online | Mahkamah tolak rayuan Gilani:

'via Blog this'

No comments: