Usaha seludup  anak Gaddafi gagal

MEXICO CITY - Kerajaan mendakwa mereka telah berjaya mematahkan cubaan sindiket antarabangsa untuk membawa masuk al-Saadi, anak kepada pemimpin Muammar Gaddafi bersama keluarganya secara rahsia ke Mexico dengan menggunakan identiti palsu, kelmarin.

Setiausaha kerajaan, Alejandro Poire berkata, badan perisikan negara itu berjaya membongkar rancangan kumpulan sindiket yang didalangi oleh dua penduduk tempatan bersama seorang warga Kanada dan Denmark.
“Usaha mereka gagal selepas ketua sindiket warga Kanada, Cynthia Vanier bersama rakannya ditahan pihak berkuasa,” menurutnya lagi.
Hasil siasatan awal pihak berkuasa mendapati salah seorang ahli kumpulan mereka telah terbang ke Mexico dan membuka akaun bank menggunakan identiti palsu serta turut membeli sebuah vila di kawasan peranginan eksklusif di Puerto Vallarta.
Bagaimanapun, dalam satu kenyataan, peguam keluarga Gaddafi, Nick Kaufman mengesahkan Saadi masih berada di Niger selepas dia melarikan diri dari Libya pada Ogos lalu.
“Beliau menghormati sekatan antarabangsa termasuk pembekuan aset yang dikenakan ke atasnya dan tidak merancang untuk melarikan diri secara rahsia,” jelasnya.
September lalu, Badan Polis Antarabangsa (Interpol) telah mengeluarkan ‘notis merah’ untuk menahan Saadi selepas didakwa menggelapkan wang dan melakukan kekerasan semasa dia menjadi presiden persekutuan bola sepak di Libya.