Pages

Friday, December 9, 2011

Ahli perniagaan pancit tayar rugi RM100,000

myMetro | Ahli perniagaan pancit tayar rugi RM100,000:

SEREMBAN: Suasana di sebuah stesen minyak di S2 City Park, Seremban 2, di sini, gempar seketika apabila wang milik seorang ahli perniagaan bernilai RM100,000 lesap dilarikan penyamun bersenjata yang memecahkan cermin kereta ketika mangsa mengisi angin tayar kenderaannya, semalam.

Difahamkan, dalam kejadian jam 2 petang itu, lelaki berusia 30-an berkenaan baru mengeluarkan wang itu daripada sebuah bank di daerah ini untuk urusan perniagaan.


Mangsa yang memandu kereta BMW bersendirian berhenti minum di sebuah restoran sebelum pulang ke rumahnya di Seremban 2.

Sumber berkata, mangsa dimaklumkan orang awam yang melihat satu daripada tayar keretanya itu pancit.


“Berikutan itu, mangsa segera menuju sebuah stesen minyak berdekatan untuk mengisi angin tayarnya.


“Ketika mengisi angin dalam hujan renyai, mangsa terkejut apabila dihampiri sebuah kereta yang nyaris melanggarnya.

“Tidak lama kemudian, beberapa individu dipercayai bertopeng dan bersenjatakan parang keluar daripada kenderaan berkenaan seolah-olah mahu menuju ke arah mangsa,” katanya di sini, semalam.


Menurutnya, mangsa yang ketakutan melarikan diri dan meninggalkan keretanya termasuk wang di dalam sebuah beg di tempat duduk penumpang. “Penjenayah terbabit memecahkan cermin di sebelah tempat penumpang itu dan mengambil beg berkenaan lalu melarikan diri,” katanya.

Kata sumber itu, mangsa tidak cedera dan membuat laporan di balai polis berdekatan.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan dan berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.


Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat kejadian itu diminta menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di talian 06-6014999 atau balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

No comments: