Pages

Monday, December 26, 2011

Presiden Yemen akan ke AS



Penunjuk perasaan anti-kerajaan Yemen meneruskan protes dengan berarak dari bandar Taiz di selatan Yemen ke ibu negara Sanaa, kelmarin. - AFP


SANAA 25 Dis. - Presiden Yemen, Ali Abdullah Saleh, semalam berkata, beliau akan meninggalkan negara itu untuk ke Amerika Syarikat (AS) bagi memberi laluan kepada pembentukan kerajaan peralihan, beberapa jam selepas tentera membunuh sembilan orang yang menggesa beliau didakwa kerana membunuh penunjuk perasaan sejak tahun lepas.

Bagaimanapun, Saleh yang bersetuju berundur daripada jawatannya itu pada bulan lepas di bawah perjanjian dengan negara-negara Teluk, tidak memberikan tarikh sebenar pemergiannya ke AS dan berikrar memainkan peranan sebagai pembangkang kepada kerajaan yang baru.

Pasukan tentera diketuai anak dan anak saudara Saleh melepaskan tembakan pistol, gas pemedih mata dan meriam air ke arah penunjuk perasaan yang berarak ke kediamannya di Sanaa dari bandar Taiz.

Seorang doktor, Mohammed al-Qubat berkata, sembilan maut manakala 90 yang lain cedera akibat terkena tembakan.

''Kira-kira 150 orang yang lain cedera akibat terkena gas pemedih mata,'' katanya.

Penunjuk perasaan menolak perjanjian itu yang memberikan Saleh kekebalan daripada sebarang tindakan undang-undang sebagai ganti menyerahkan kuasa kepada timbalannya yang akan mengetuai kerajaan sementara sebelum pilihan raya Presiden diadakan pada Februari ini.

Saleh yang beberapa kali menarik balik perjanjian itu dan akhirnya bersetuju selepas cubaan bunuh ke atasnya yang menyebabkannya cedera teruk dan mendapatkan rawatan di Arab Saudi pada Jun lalu.

Saleh berkata, beliau akan memberikan laluan kepada pentadbiran baru Yemen tetapi pada masa yang sama, akan bertindak sebagai pembangkang.

''Saya akan ke AS bukan untuk mendapatkan rawatan tetapi untuk mengelak perhatian, kamera dan membenarkan kerajaan perpaduan bersedia untuk mengadakan pilihan raya.

''Saya akan berada di sana selama beberapa hari tetapi saya tetap akan pulang kerana saya tidak akan meninggalkan rakyat dan rakan saya selama 11 bulan. Saya akan berundur daripada tugas politik dan pergi ke jalanan sebagai pembangkang,'' katanya. - REUTERS

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments: