Pages

Thursday, November 10, 2011

Pisau daging tikam sepupu

TAWAU: Berang kerana mengesyaki isteri tersayang menjalinkan hubungan sulit dengan sepupunya, seorang lelaki menggunakan pisau pemotong daging untuk menikam dada sepupunya yang sedang tidur di rumahnya di Kampung Hidayat, Batu 4 di sini, kelmarin.
Mangsa yang berusia 30 tahun dikatakan menumpang di rumah lelaki terbabit sejak beberapa bulan lalu. Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi kelmarin, kejadian disedari isteri suspek berusia 34 tahun dan jiran selepas terdengar suara mangsa mengerang dan meronta kesakitan.

Sebaik masuk ke bilik tidur, mereka terkejut apabila mendapati mangsa berlumuran darah dan pada masa sama melihat suspek melarikan diri sebelum ditahan penduduk yang kemudian menghubungi polis.

Mangsa yang berlumuran darah dikejarkan ke Hospital Tawau oleh jiran dan disahkan meninggal dunia, kira-kira jam 1.25 tengah hari. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Ibrahim Chin berkata, sebaik menerima laporan, sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian bagi menjalankan siasatan.

Beliau berkata, suspek tidak mempunyai dokumen pengenalan diri ditahan jiran mangsa sebelum dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut. 

“Polis turut merampas pisau pemotong daging dipercayai senjata yang digunakan suspek untuk menikam mangsa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di sini, semalam. Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati mangsa dan isteri dikatakan menumpang di rumah suspek yang juga sepupunya sejak beberapa bulan lalu.

Menurutnya, punca kejadian dipercayai ada kaitan dengan rasa cemburu suspek terhadap mangsa yang kononnya menjalinkan hubungan sulit dengan isterinya.

Ibrahim berkata, suspek kini ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan polis, manakala isterinya dipercayai melarikan diri kerana dipercayai tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tawau untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan kerana membunuh.

No comments: