Pages

Thursday, November 10, 2011

Iran tak akan berganjak

 TEHERAN: Iran berikrar tidak akan “berganjak walau satu zarah pun” daripada usaha membangunkan tenaga nuklear walaupun laporan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang terbaru ini, menguatkan lagi syak wasangka mereka yang Iran sedang membina senjata nuklear.
Iran turut memberi amaran Israel akan menghadapi kemusnahan sekiranya ia diserang.
Iran mengeluarkan kenyataan tersebut apabila Amerika Syarikat dan sekutunya mahu menguatkan lagi sekatan ekonomi terhadap Iran.

China pula meminta negara Republik Islam itu memberi kerjasama kepada Agensi Tenaga Atom Antaranbangsa PBB.


Laporan IAEA semalam berkata, ada bukti “yang boleh dipercayai” mengatakan Iran sedang membangunkan bom nuklear yang boleh dilancarkan peluru berpandu jarak sederhana, Shahab-3.

Pegawai Iran menafikan tuduhan tersebut dan mengatakan laporan itu tidak “berasas” dan “bermotifkan politik” dan hanya berlandaskan perisikan yang didalangi oleh musuhnya, Amerika Syarikat.

Presiden Mahmoud Ahmadinejad dalam ucapannya yang disiarkan televisyen, berkata, “Kami tidak akan berganjak satu zarah pun daripada jalan yang telah kita pilih ini.”

Katanya, program nuklear Iran adalah eksklusif untuk rakyat dan bersifat aman.

“Kami tidak perlukan bom atom,” katanya.

Timbalan Ketua Ketenteraan Brigadier Jeneral Masoud Jazayeri turut memberi amaran akan bertindak balas sekiranya tapak nuklear Iran diserang Israel. - AFP 

No comments: