Pages

Wednesday, November 23, 2011

Banjir di Terengganu makin buruk



Keadaan jalan yang ditutup akibat banjir di Kampung Pengkalan Ajar Hulu Terengganu, semalam.


KUALA TERENGGANU 22 Nov. - Banjir di Terengganu semakin buruk apabila 373 mangsa dipindahkan hari ini berbanding 44 orang petang semalam.

Banjir melibatkan tiga daerah iaitu Besut dengan 175 orang daripada 39 dipindahkan, manakala Setiu melibatkan 115 mangsa daripada 30 keluarga berbanding semalam hanya 26 mangsa daripada lapan keluarga.

Daerah Hulu Terengganu pula mencatatkan peningkatan mangsa apabila 83 orang daripada 15 keluarga dipindahkan berbanding semalam hanya 18 orang daripada lima keluarga.

Kesemua mangsa ditempatkan di lapan pusat pemindahan antaranya Masjid Kampung Merbau Menyusut dan Balai Raya Kampung Tasek bagi daerah Setiu, manakala masjid dan Balai Raya Kampung Ceting, Kampung Pelandan dan Sekayu di Hulu Terengganu serta masjid dan Balai Raya Keruak dan Kampung La bagi daerah Besut.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu berkata, sehingga pukul 7 petang ini, hanya sebatang jalan ditutup untuk kenderaan berat iaitu di Kampung Jak, Hulu Terengganu kerana ditenggelami air sedalam 0.6 meter, manakala Jalan Sungai Tong/Pelong (Kampung Pengkalan Merbau), Setiu ditutup kepada kenderaan ringan sahaja.

Laman web Jabatan Pengairan dan Saliran negeri memaklumkan dua sungai telah melepasi paras berbahaya iaitu Sungai Besut di Kampung La setinggi 20.59 meter (paras bahaya 19.20 meter) manakala Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri, Setiu setinggi 8.85 meter (paras bahaya 8.80 meter).

Dalam pada itu, tinjauan Utusan Malaysia ke daerah Hulu Terengganu mendapati sebahagian penempatan penduduk di tiga buah kawasan mula dinaiki air, bagaimanapun rata-rata penduduk masih tidak berpindah biarpun air sungai berdekatan telah mula menenggelami sebahagian jalan raya.

Selain itu, ibu bapa juga dilihat membiarkan anak-anak mereka bermain air tanpa kawalan.

Ketua Polis negeri, Datuk Jamshah Mustapa menasihati ibu bapa supaya lebih berwaspada dengan ketibaan musim hujan ini tidak membiarkan anak-anak kecil bermain di luar rumah walaupun air banjir cetek.

Di KELANTAN, hujan lebat yang berlarutan sejak tiga hari lalu menyebabkan tiga kampung di daerah Pasir Puteh iaitu Kampung Bukit Awang, Gong Kala dan Gong Keding mula dilanda banjir.

Banjir yang menenggelamkan beberapa buah rumah di Kampung Bukit Awang menyebabkan 26 orang daripada tiga keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Bukit Awang setakat pukul 5.30 petang ini sebagai langkah keselamatan.

Di daerah Kota Bharu pula, seramai 113 orang daripada 20 keluarga di kawasan Mulong dipindahkan ke pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Mulong (1) selepas rumah mereka dinaiki air.

Di Kuala Krai, sebuah jalan kampung difahamkan telah ditutup buat sementara waktu kepada kenderaan ringan kerana turut ditenggelami air.

Data terkini paras air sungai yang dikeluarkan Jabatan Pengairan dan Saliran negeri setakat pukul 5.30 petang ini menunjukkan paras air Sungai Golok di Rantau Panjang telah melebih tahap amaran, manakala sungai-sungai lain berada di atas paras normal.

Sungai Golok di Rantau Panjang menunjukkan kedalaman 7.45 meter melebihi paras amaran iaitu tujuh meter manakala bacaan Sungai Golok di Jenob, Pasir Mas di paras 21.87 meter iaitu menghampiri paras amaran 21.50 meter.

Bacaan paras air Sungai Kelantan di pusat bacaan Kuala Krai, Kusial dan Jeti Kastam telah melebih paras biasa dan menghampiri tahap amaran iaitu masing-masing pada kedalaman 18.10, 10.32 dan 0.91 meter.

Di Pasir Puteh, Sungai Semarak menunjukkan bacaan 1.47 meter melebihi paras normal iaitu 0.4 meter, manakala Sungai Galas di Dabong pula mencatatkan bacaan 29.30 meter menghampiri paras amaran pada kedalaman 32 meter.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Kelantan, Datuk Dr. Zainuddin Ibrahim pada sidang akhbar di sini petang ini menyatakan, jawatan kuasa tersebut kini sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi musim banjir.

Jelas beliau, sebanyak 729 buah pusat pemindahan banjir telah disiapkan yang mampu menempatkan sehingga 150,700 mangsa dalam satu-satu masa, manakala 170 pangkalan hadapan telah dibuka.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah membekalkan makanan terdiri daripada beras, sardin, biskut, minyak masak, gula, teh dan kopi yang keseluruhannya bernilai RM495,000 dan tambahan bantuan bernilai RM600,000 lagi akan diberi jika keadaan semakin serius.

"Kelengkapan logistik semua agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga sudah ada, manakala seramai 4,800 kakitangan kerajaan Pusat dan kerajaan negeri bersedia menjalankan misi menyelamat," tambahnya.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:

'via Blog this'

No comments: