Pages

Tuesday, November 29, 2011

Afghanistan suruh NATO serang pos tentera Pakistan

 TENTERA Pakistan memberi penghormatan terakhir kepada rakan mereka yang terbunuh akibat serangan NATO.
TENTERA Pakistan memberi penghormatan terakhir kepada rakan mereka yang terbunuh akibat serangan NATO.
Serangan udara cetus ketegangan di antara Kabul, Islamabad, Washington

PESHAWAR: Tentera Afghanistan yang diserang ketika bertugas berhampiran sempadan Pakistan meminta bantuan pesawat udara Perjanjian Pakatan Atlantik Utara (NATO) yang membawa kepada pembunuhan 28 askar Pakistan di dua pos pemeriksaan.

Pada masa sama, pegawai Afghanistan juga mengakui mereka tidak pasti siapa yang menembak anggota perondanya sebelum subuh Sabtu lalu kecuali tembakan itu dilepaskan dari arah pos pemeriksaan Pakistan.
Bagaimanapun, Pakistan semalam menafikan melakukan provokasi yang membawa kepada serangan udara NATO, sekali gus meningkatkan ketegangan berhubung serangan merentasi sempadan yang terus mengeruhkan hubungan Amerika Syarikat dan Pakistan.
“Ini tidak benar. Mereka reka alasan. Jika betul, di manakah korban mereka,” kata jurucakap ketua tentera Pakistan, Mejar Jeneral Athar Abbas.

Tentera Pakistan juga mendedahkan, serangan udara NATO berterusan selama dua jam meskipun panglima tentera Pakistan merayu supaya ia dihentikan.

Sementara itu, beribu-ribu penduduk berkumpul di luar Konsulat Amerika di Karachi kelmarin untuk membantah serangan itu.

Wartawan agensi berita yang berada di lokasi berkata, penduduk melaungkan ‘Matilah Amerika’ manakala seorang lelaki dilihat memanjat tembok dan meletakkan bendera Pakistan pada kawat besi.
“Amerika menyerang sempadan kami. Kerajaan perlu memutuskan hubungan dengannya segera. Amerika mahu menceroboh negara kami tetapi kami tidak akan membenarkannya,” kata Naseema Baluch, suri rumah yang turut hadir dalam perhimpunan itu.

Ramai rakyat Pakistan percaya tentera yang memerangi militan cuma melindungi kepentingan Barat.

Kejadian itu memburukkan lagi hubungan kedua-dua negara. Tentera Pakistan berkata, NATO melancarkan serangan tanpa sebab dan menegaskan tiada aktiviti militan berhampiran pos sempadan di wilayah Mohmand.

Berang dengan serangan itu, Islamabad menutup sempadannya kepada trak yang membawa bekalan kepada tentera pelbagai negara di Afghanistan dan menuntut Amerika mengosongkan pangkalan udaranya dalam masa 15 hari.

Ketua tentera Pakistan, Jeneral Ashfaq Pervez Kayani, menghadiri majlis pengebumian mangsa ketika Washington berusaha meminimumkan ketegangan kedua-dua negara.

Hubungan keruh kedua-dua negara mencapai kemuncak selepas pasukan khas Amerika membunuh pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden di Abbottabad, Mei lalu.

Menteri Luar Pakistan, Hina Rabbani Khar, memberitahu Setiausaha Negara Amerika, Hillary Clinton, serangan NATO itu menafikan semua kemajuan dalam memulihkan hubungan kedua-dua negara.

Dia memberitahu Hillary dalam panggilan telefon serangan itu tidak dapat diterima dan mencetuskan kemarahan di kalangan rakyat negaranya.

Islamabad juga membuat bantahan kepada kerajaan Afghanistan, dan berkata ia sepatutnya menghalang NATO menyerang Pakistan.

Seorang pegawai Afghanistan menyifatkan bantahan itu sebagai tidak berasas dan berkata NATO beroperasi di Afghanistan dengan mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas diluluskan Pakistan. – Agensi
Berita Harian Online | Afghanistan suruh NATO serang pos tentera Pakistan:

'via Blog this'

No comments: