Pages

Wednesday, October 26, 2011

Dapat anak tidak sah taraf



ANTARA sijil dan dokumen sindiket nikah palsu yang dikesan oleh Jakim.


KUALA LUMPUR – Pasangan yang menggunakan khidmat sindiket nikah palsu di negara ini mungkin terdedah kepada bahaya dosa melahirkan anak tidak sah taraf.

Itu amaran Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Saimah Mukhtar mengenai senario pasangan bernikah di luar undang-undang di Malaysia.

“Masalah yang paling serius ialah melibatkan isu nasab dan sistem kekeluargaan Islam kerana pernikahan dengan menggunakan sindiket dikhuatiri tidak sah dari hukum syarak dan menyebabkan hubungan seks luar nikah dan melahirkan anak tidak sah taraf,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Menurut Saimah, selain itu, masalah yang bakal dihadapi pasangan ialah kesukaran untuk mendaftarkan pernikahan, kelahiran dan pendidikan anak-anak pada masa depan.

“Malah golongan wanita juga berisiko apabila hak-hak dan nasib anak-anak mereka terabai apabila suami mereka meninggal dunia atau berlaku perceraian.

“Selain itu, timbul masalah hak pewarisan harta pusaka, hak hadhanah, hak mut'ah serta lain-lain perkara melibatkan sijil pernikahan yang sah,” ujar beliau.

Saimah memberitahu, kes-kes sedemikian dikesan oleh Jakim apabila pasangan yang dinikahkan itu ingin mendaftarkan perkahwinan mereka dengan jabatan agama Islam di negeri-negeri.

“Apabila kita periksa dan semak kesahihan dokumen didapati kesemua dokumen itu palsu malah ada kes di mana satu pasangan cuba untuk mendaftarkan perkahwinan mereka sebanyak dua kali dan kedua-dua sijil yang diberikan didapati tetap palsu,” katanya.

Mengenai modus operandi sindiket yang sama, katanya, rata-rata mereka menjalankan operasi di tempat-tempat yang tidak disangka-sangka.

Katanya, ada pernikahan dilakukan di restoran makanan segera, dalam kereta dan rumah kedai sebagai taktik sindiket itu mengelak daripada dihidu pihak berkuasa.

Saimah berkata, selain lokasi pernikahan, sindiket yang sama turut menyediakan pelbagai kemudahan termasuk perkhidmatan pengangkutan bagi memastikan segala urusan pernikahan berjalan lancar.

Menurutnya, pada bayaran di antara RM3,000 hingga RM5,000 sahaja, setiap pasangan dimaklumkan pernikahan mereka kononnya mendapat kelulusan daripada jabatan agama dan sijil disediakan sedangkan ia sebenarnya dokumen palsu.

Menurut Saimah, ciri-ciri umum nikah sindiket pernikahan palsu ialah mereka tidak mendapat tauliah daripada pihak berkuasa agama dan tidak mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

“Biasanya, ia bertujuan untuk mengaut keuntungan dengan mengenakan bayaran tertentu kepada pasangan yang hendak berkahwin dengan cara yang mudah tanpa melalui syarat serta prosedur yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama di negeri-negeri.

“Bagaimanapun, tidak dinafikan ada juga jurunikah palsu yang mengenakan hanya beberapa ratus ringgit sahaja iaitu sekadar melebihi kadar mas kahwin biasa,” ujarnya.

Saimah menjelaskan, kebanyakan daripada kes didapati berpunca daripada hasrat lelaki yang ingin berpoligami tanpa pengetahuan isteri, terlanjur sehingga mengandung anak tidak sah taraf, halangan keluarga dan jahil mengenai hukum berkaitan pernikahan.

Selain itu, katanya, kebanyakan masyarakat Islam pada masa kini juga masih lagi tidak memahami konsep pernikahan dan perbezaannya dengan nikah di selatan Thailand atau di luar negara.

“Mereka selalunya keliru dan mungkin telah dikelirukan oleh pihak-pihak tertentu yang mengatakan bahawa nikah itu mudah dan tidak perlu bersusah payah semata-mata hendak bernikah,” jelasnya.

Tegas beliau, isu tersebut dipandang serius oleh Jakim dan menganggap ia tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana ia melibatkan kesahihan sesebuah pernikahan, pelaksanaan serta pematuhan undang-undang Islam di sesebuah negara.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

No comments: