Pages

Monday, September 29, 2014

31 dipercayai mati


Polis berkata, semua mangsa ditemui tidak sedarkan diri dengan degupan jantung terhenti, tetapi enggan mengesahkan kematian mangsa kerana menunggu bedah siasat dijalankan.
Seorang pegawai bertugas berkata, usaha menyelamat terpaksa dihentikan berikutan peningkatan paras toksik berhampiran kawasan kawah Gunung Ontake dan keadaan yang semakin gelap.

Ratusan pengunjung termasuk kanak-kanak terperangkap di gunung berkenaan, kawasan pendakian popular dalam kalangan rakyat tempatan dan antarabangsa, selepas letupan tiba-tiba berlaku kelmarin, memuntahkan debu meliputi kawasan sejauh lebih 3 kilometer.
Foto
ORANG ramai terpaksa mengguna topeng bagi melindungi diri mereka daripada debu gunung berapi.
Foto
KEPULAN asap kelihatan keluar di celahan gunung itu semalam.
Foto
ANGGOTA bomba dan pasukan penyelamat mengusung seorang mangsa yang diselamatkan.

Kebanyakan pengunjung turun dari gunung itu kelmarin namun kira-kira 40 yang lain bermalam berhampiran kawasan kawah.

Media tempatan melaporkan seorang mangsa memberitahu, bumbung kawasan penginapannya rosak teruk akibat dihujani batu yang dimuntahkan Ontake, sekaligus memaksa pengunjung berlindung di bawah bangunan berkenaan.

Letupan berkenaan turut mencederakan 40 orang. Ada yang patah tulang. 
Sebelum ini, Agensi Pengurusan Kebakaran dan Bencana berkata, pihak berkuasa berusaha mengesan lokasi 45 mangsa lain.

Masih belum dapat dipastikan sama ada 45 mangsa itu termasuk dalam 31 mangsa yang dipercayai mati. 

Sementara itu, gunung berapi berkenaan terus memuntahkan debu dan kesan kesannya dilihat pada kenderaan yang terletak sejauh 80 kilometer dari kawasan berkenaan.

Letupan gunung berapi kerap berlaku di Jepun yang tergolong antara negara yang paling aktif berlaku pergerakan seismik, namun tidak pernah menyebabkan kematian sejak 1991.

Kali terakhir gunung berapi kedua tertinggi di Jepun yang terletak 200 kilometer di barat Tokyo itu memuntahkan laharnya ialah tujuh tahun lalu dan letupan terbesar berlaku pada 1979.

Seorang pengunjung, Satoshi Saito, 52, berkata dia turun dari kawasan berkenaan kurang sejam sebelum letupan berlaku.

Saito berkata, cuaca pada hari itu amat baik dan kawasan gunung yang terkenal dengan pemandangan musim luruh yang indah, dipenuhi pelawat yang ingin merakamkan suasana berkenaan.- Reuters
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/29

No comments: