Pages

Wednesday, October 26, 2011

Cuti lima hari kerana Bangkok banjir



Reuters - BEBERAPA lelaki memindahkan televisyen dan barang lain milik mereka dekat sebuah stesen minyak yang dilanda banjir di daerah Bang Phlat, Bangkok semalam.


BANGKOK - Lapangan terbang kedua di ibu kota Thailand di sini iaitu Lapangan Terbang Don Mueang ditutup semalam ketika air banjir semakin menghampiri bandar raya ini sekali gus memaksa pihak berkuasa mengisytiharkan sekolah dan pejabat ditutup selama lima hari sebagai persediaan menghadapi banjir.

Kabinet turut mengarahkan cuti bermula 27 hingga 31 Oktober di sini dan 20 wilayah lain yang terjejas akibat banjir terburuk pernah melanda negara itu dalam tempoh 50 tahun.

Pengumuman cuti tersebut dibuat berikutan kebimbangan pihak berkuasa mengenai air pasang besar yang diramal berlaku akan menyebabkan air sungai utama di sini melimpah dan memburukkan lagi krisis banjir.

Cuti umum itu dibuat bagi membolehkan 12 juta penduduk di sini mengelakkan banjir yang semakin menghampiri pusat bandar raya ini selepas menenggelamkan bahagian-bahagian lain di Thailand dengan menyebabkan 360 orang terbunuh manakala jutaan kediaman musnah.


Reuters - SEORANG gadis membawa seekor itik semasa meredah banjir di daerah Bang Phlat di Bangkok semalam.


Keputusan memberikan cuti umum tersebut dibuat dalam satu mesyuarat di lapangan terbang berkenaan di utara bandar raya ini.

Lapangan Terbang Don Mueang yang menguruskan penerbangan domestik turut berfungsi sebagai tempat perlindungan mangsa banjir dan ibu pejabat operasi bantuan mangsa-mangsa banjir.

"Air banjir akan mengalir di bahagian utara lapangan terbang ini, ia boleh menyebabkan pesawat tergelincir di landasan," kata pihak pengurusan lapangan-lapangan terbang Thailand.

Menurut kenyataan sama, dua landasan di lapangan terbang itu akan ditutup sehingga 1 November ini.

Hampir 100 penerbangan domestik beroperasi dari lapangan terbang berkenaan setiap hari. - AFP

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

No comments: