Pages

Monday, September 26, 2011

Satelit disah jatuh di Lautan Pasifik, timur Afrika

KUALA LUMPUR 25 Sept. - Agensi Angkasa Negara (Angkasa) hari mengesahkan satelit milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) telah jatuh di dua laluan utama yang dikenalpasti.
Koordinator Observatori Negara Langkawi (ONL), Mhd. Fairos Assillam berkata, dua laluan tersebut ialah di Lautan Pasifik dan timur Afrika.
"Satelit yang pecah kepada 26 bahagian itu dipercayai telah terbakar dan bertaburan di dua kawasan tersebut semalam, tetapi waktu sebenar belum dapat dipastikan.
"Kita cuma boleh mengesahkan waktu satelit tersebut memasuki atmosfera bumi iaitu di antara jam 11.23 pagi dan 1.09 tengah hari (waktu Malaysia) semalam," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, setakat hari ini belum ada mana-mana laporan serpihan satelit itu dijumpai atau mengorbankan orang awam dan mengalami kerosakan harta benda.
Pada 21 September, Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS) dan NASA mengesan Satelit Penyelidikan Atmosfera Atas (UARS) seberat enam tan yang berisiko untuk jatuh ke bumi dan diramalkan jatuh pada hari Jumaat lalu.
Tambah Mhd. Fairos, Malaysia antara negara yang terselamat daripada terkena serpihan itu kerana negara berada di laluan selamat.
Mengulas tentang orang ramai diingatkan tidak mengambil dan menyentuh objek pelik berhubung serpihan satelit, beliau memberitahu, serpihan tersebut dikhuatiri sangat panas disebabkan terbakar.
Selain itu, katanya, menurut Standard Operating Procedur, serpihan satelit itu mungkin mempunyai radiasi yang tidak dikenalpasti memandangkan sudah lebih 15 tahun di angkasa lepas.

No comments: