Pages

Monday, September 26, 2011

Pelancong hamba empat beranak

KUALA LUMPUR - Tiga wanita India terpaksa menanggung azab selama dua tahun apabila dijadikan seperti hamba ketika dikerah bekerja tanpa gaji di sebuah ladang ternakan dan tanaman sebelum diselamatkan polis yang menyerbu kawasan tersebut di Gopeng, Perak baru-baru ini.
Selain tidak dibayar gaji, ketiga-tiga mangsa berusia di antara 20 dan 30 tahun itu turut mendakwa dipukul, tidak dibenarkan keluar dan dipaksa bekerja tidak mengikut masa seperti yang ditetapkan dalam Akta Buruh.
Mereka yang dipaksa bekerja sebagai penggembala lembu, kambing, menjaga kolam dan mengutip bunga melor dikatakan datang ke negara ini sebagai pelancong pada 2009 sebelum diperdaya untuk bekerja di ladang itu oleh empat suspek tersebut.
Jarak di antara India dan Gopeng dianggarkan sejauh 2,600 kilometer.
Empat suspek itu dikatakan mempunyai hubungan keluarga dan mereka berusia di antara 12 dan 40 tahun.
Sumber berkata, polis yang menerima maklumat kemudian telah menyerbu ladang tersebut pada 12 September lalu.
Katanya, ketika diserbu oleh sepasukan polis dari Unit Anti Pemerdagangan Orang (ATIP) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, kesemua mangsa sedang bekerja dalam keadaan tertekan dan daif manakala kesemua suspek yang merupakan majikan ketiga-tiga wanita itu berada di ladang berkenaan.
"Kita melakukan risikan selama dua minggu selepas mendapat maklumat daripada orang awam. Siasatan mendapati, sepanjang tempoh dua tahun itu, mereka tidak dibayar gaji dan bekerja tidak mengikut prosedur yang ditetapkan Akta Buruh.
"Kita sedang menyiasat dakwaan wanita itu mengatakan mereka dipukul oleh majikannya dan dipaksa bekerja sebagai penggembala lembu, kambing, menjaga kolam dan mengutip bunga melor," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Tambahnya, soal siasat mendapati, mereka diperdaya oleh keempat-empat suspek itu yang pada mulanya berjanji akan memberikan gaji setimpal dengan kerja yang dilakukan di ladang tersebut.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7), JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan mengesahkan penahanan keempat-empat suspek tersebut.
Menurut Abdul Jalil, kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 13 Akta ATIP dan Anti Penyeludupan Migran 2007.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan pemerdagangan orang menyalurkannya kepada pihak polis dalam usaha membanteras kegiatan itu bagi mengelak lebih ramai orang menjadi mangsa pihak tertentu.
-kosmo

No comments: