Pages

Monday, September 26, 2011

Mahmud mahu pinda perjanjian dengan Israel

AMMAN: Presiden Palestin, Mahmud Abbas berkata, beliau mahu meminda perjanjian mengenai hubungan ekonomi yang ditandangani pada 1994 dengan Israel. “Kami mahu meminda perjanjian ekonomi Paris antara Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dengan Israel kerana ia menguntungkan Israel,” kata Mahmud kepada wartawan.
Mahmud yang dalam perjalanan pulang selepas menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Beliau mengemukakan permohonan Palestin untuk menjadi anggota penuh badan dunia itu pada perhimpunan berkenaan Jumaat lalu.

“Perjanjian Paris mengandungi sekatan yang menjejaskan ekonomi Palestin dan menyekat pembangunannya.

“Ia tidak membenarkan rakyat Palestin meningkatkan ekonomi mereka,” kata Mahmud, merujuk kepada Protokol Hubungan Ekonomi yang ditandatangani di Paris pada 1994 antara Israel dengan PLO.

Pada masa sama, pemimpin Palestin itu juga berkata, beliau komited untuk meneruskan dialog menyeluruh dengan Hamas, pergerakan Islam Palestin yang menentang usahanya untuk mendapatkan keanggotaan penuh dalam PBB.


“Sebahagian pegawai Hamas menentang usaha menjadi anggota penuh PBB. Tetapi secara keseluruhan, saya menerima sokongan daripada pemimpin pergerakan itu,” kata Mahmud. - AP

No comments: