Pages

Monday, September 26, 2011

Kabinet Israel bincang rundingan damai



SEORANG budak lelaki mengibarkan bendera pasukan keselamatan Palestin 
di bandar Ramallah sebelum ketibaan Mahmoud Abbas dari New York semalam.

BAITULMUQADDIS - Menteri Luar Israel, Avigdor Lieberman menyatakan bahawa kerajaannya perlu menerima satu cadangan daripada pengantara antarabangsa supaya rundingan damai Israel-Palestin diadakan semula.
Pengantara itu yang dikenali sebagai Kuartet Asia Barat menyatakan baru-baru ini bahawa kedua-dua pihak perlu kembali untuk berunding dalam tempoh sebulan.
Menurut pengantara tersebut, kedua-dua pihak perlu untuk mencapai satu penyelesaian menjelang tahun 2012.
Kenyataan itu dibuat selepas Palestin meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengiktiraf kemerdekaannya tanpa satu perjanjian keamanan.
lieberman menyatakan semalam bahawa Israel patut menerima cadangan pengantara antarabangsa tersebut kerana ia tidak mempunyai sebarang syarat.
Menurut pihak Palestin, rundingan akan hanya boleh diadakan jika ia turut melibatkan pembekuan penempatan haram Yahudi.
Kabinet Israel dijangka membuat keputusan berhubung dengan cadangan tersebut dalam tempoh beberapa hari lagi.
Sementara itu, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas diberikan sambutan sebagai wira oleh ribuan penduduk semasa dia tiba di Ramallah, Tebing Barat semalam.
Mahmoud mengemukakan surat permohonan di PBB, New York bagi menjadikan Palestin sebagai anggota badan dunia itu pada minggu lalu.
Dia turut mengulangi bahawa Palestin tidak akan berunding tanpa pemberhentian penempatan haram Yahudi.
"Tiada sebarang rundingan tanpa kesahihan antarabangsa dan pemberhentian sepenuhnya penempatan haram (Yahudi)," kata Mahmoud. - Agensi

No comments: