Pages

Saturday, September 24, 2011

Ahmadinejad gelar AS, Eropah penjajah angkuh

NEW YORK: Diplomat Amerika Syarikat dan delegasi 30 negara lain bertindak keluar dewan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) selepas Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad menyifatkan kuasa besar itu dan sekutunya di Eropah Barat sebagai kuasa angkuh yang tamak dan suka campur tangan ketenteraan di negara lain.

Langkah dua diplomat Amerika yang pakar dalam Asia Barat diikuti perwakilan lain daripada lebih 30 negara termasuk Kesatuan Eropah (EU), Australia, New Zealand, Somalia, Liechtenstein, Monaco, San Marino dan Macedonia. Israel turut memboikot ucapan terbabit.
Ucapan berapi-api Ahmadinejad yang anti-Amerika dan anti-Israel perkara biasa dalam UNGA.
Beliau mengecam Amerika dan kuasa besar Eropah kerana menculik berjuta-juta rakyat Afrika dan menjadikan mereka hamba, menggugurkan beribu-ribu butir bom di negara lain dan menguasai Majlis Keselamatan PBB.

Beliau juga mengutuk Amerika kerana menggunakan bom nuklear terhadap Jepun dalam Perang Dunia Kedua dan melaksanakan dan menyokong pemerintahan diktator tentera dan rejim kuku besi di Asia, Afrika dan Amerika Latin.

Ketua hamba dan kuasa penjajah yang sama menghasut dua perang dunia mencetuskan kesengsaraan besar dan huru-hara di seluruh dunia.

Adakah kuasa angkuh ini benar-benar mempunyai kecekapan dan keupayaan untuk memerintah dunia, sindir Ahmadinejad.
Beliau menjawab soalan itu dengan menggesa perkongsian dan pengurusan bersama dunia untuk menamatkan masalah pada masa ini termasuk diskriminasi seluruh dunia.

Tahun lalu beliau berkata, masa depan adalah milik Iran dan mencabar Amerika Syarikat untuk menerima hakikat bahawa negaranya ada peranan penting di dunia.

Tahun lalu, Ahmadinejad turut menyebabkan perwakilan Amerika, EU dan beberapa lagi keluar dewan apabila berkata majoriti penduduk di Amerika dan seluruh dunia percaya kerajaan Amerika sendiri melakukan serangan 11 September 2011 (9/11) dalam usaha untuk memastikan keselamatan Israel.

Ahmadinejad turut menyalahkan Amerika sebagai kuasa di sebalik sekatan Majlis Keselamatan PBB terhadap Iran berikutan keengganan Tehran menangguhkan pengkayaan uranium. AP 

No comments: