Pages

Sunday, August 28, 2011

Warga Bangladesh maut

SEREMBAN: Seorang pekerja ladang warga Bangladesh maut selepas traktor membawa muatan kelapa sawit dinaikinya dirempuh sebuah lori di Jalan Labu-Gadong, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 10.30 pagi, lori membawa muatan batu itu dikatakan dalam perjalanan menghala ke Kampung LBJ, Labu, dekat sini, sebelum terbabit dalam kemalangan.

Jurucakap polis berkata, Rashidul Islam, 26, yang duduk di bahagian belakang traktor, maut di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala dan badan.

“Pemandu lori berusia 54 tahun itu dipercayai gagal mengawal kenderaannya ketika menuruni bukit lalu merempuh bahagian belakang traktor.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa dipercayai tercampak beberapa meter dari tempat duduk di bahagian belakang traktor dan maut di tempat kejadian,” katanya di sini, semalam.

Menurut beliau, seorang rakan sekerja mangsa yang duduk di tempat sama sempat menyelamatkan diri ketika kemalangan berlaku.


Katanya, rempuhan kuat itu menyebabkan bahagian depan lori dan bahagian belakang traktor remuk teruk.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS), di sini, untuk bedah siasat sebelum dituntut pihak kedutaan.

“Bagaimanapun, pemandu traktor dan pemandu lori tidak cedera,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Abd Halil Hamzah ketika mengesahkan kejadian itu berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

No comments: