Pages

Sunday, August 28, 2011

Lelaki disyaki dera anak tiri ditahan

HULU SELANGOR: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki mendera anak tirinya berusia tiga tahun, menyebabkan mangsa kini terlantar di hospital akibat patah gigi dan lebam seluruh badan.
Sehingga kini, mangsa dilaporkan belum sedarkan diri selepas dihantar ke Hospital Sungai Buloh oleh ibunya, kelmarin.

Menurut sumber, doktor yang merawat mangsa mengesyaki dia didera berdasarkan kesan lebam baru dan lama di leher, telinga dan badannya, menyebabkan pengamal perubatan itu membuat laporan polis.

“Susulan laporan diterima, sepasukan anggota polis menyerbu rumah mangsa sebelum menahan seorang lelaki yang juga bapa tirinya di sebuah rumah di Bukit Sentosa bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai didera berulang kali sejak sebulan lalu selepas ibunya berkahwin dengan lelaki itu lebih setahun lalu.

Sumber itu berkata, ibu mangsa adalah warga Indonesia dan pernah berkahwin dengan seorang lelaki dipercayai warga Bangladesh sebelum pasangan itu bercerai.


“Polis akan mendapatkan keterangan lanjut daripada ibu mangsa bagi membantu siasatan kes itu, namun sehingga kini dia belum berbuat demikian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Afendy ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Menurutnya, suspek kini direman empat hari mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 200.

No comments: