Pages

Tuesday, August 30, 2011

Taufan Irene ragut 19 nyawa di AS


Billy Stinson (kiri) menenangkan anaknya, Erin Stinson ketika mereka duduk di tangga rumah mereka sebelum ia dimusnahkan oleh taufan Irene di Nags Head, North Carolina, kelmarin. - AFP



WASHINGTON 29 Ogos - Taufan Irene yang melanda bandar raya New York kini bergerak ke arah utara New England dalam keadaan kekuatan yang semakin menurun dan diklasifikasikan sebagai ribut tropika.
Taufan tersebut meninggalkan Pantai Timur Amerika Syarikat (AS) di mana ia menyebabkan sekurang-kurangnya 19 orang terkorban, banjir teruk dan kira-kira 4.5 juta rumah dan pusat perniagaan terputus bekalan elektrik.
Sistem penerbangan, kereta api, rangkaian perkapalan dan pengangkutan lain yang tergendala akibat bencana alam itu berusaha untuk menyambung perkhidmatan mereka semalam tetapi dijangka semuanya akan kembali seperti biasa seawal Selasa ini.
Banjir, kerosakan akibat angin kuat dan bekalan elektrik yang terputus akibat Taufan Irene itu menghalang usaha untuk memulihkan kembali semua sistem bagi berpuluh juta penduduk terutamanya di New York, di mana lapangan terbang dan laluan bawah tanah masih ditutup.
Washington dan Philadelphia pula sudah mula menjalankan operasi penerbangan mereka melihat langit yang kembali cerah di sana.
Menurut jurucakap US Airways, Todd Lehmacher, mereka kini fokus untuk mencapai sasaran menjalankan operasi seperti biasa pada hari Selasa.
“Kami memerlukan masa untuk memulihkan sistem seperti biasa dan berharap boleh memulakannya secara terhad hari ini di lapangan-lapangan terbang itu,” katanya,
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan berkata, kesemua tiga buah lapangan terbang di New York beroperasi pagi ini.
Pegawai New York tidak dapat memberi maklumat bila sistem laluan bawah tanah yang merupakan terbesar di negara itu akan dibuka sepenuhnya kembali. - Agensi, utusan

No comments: