Pages

Wednesday, August 3, 2011

Remaja Orang Asli mengaku tertembak adik



TERTUDUH remaja Orang Asli bawah umur yang tertembak mati adik sendiri didakwa di Mahkamah Majistret Maran, Pahang semalam.


MARAN - Seorang remaja Orang Asli mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas dua pertuduhan iaitu membunuh tanpa niat dan memiliki dua laras senapang buatan sendiri.
Bagi pertuduhan pertama, remaja berusia 15 tahun itu mengaku bersalah apabila tertembak adik kandungnya yang berusia 10 tahun ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Zaihan Mohamad Ali.
Kejadian berlaku di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Bagas, Kuala Sentul di sini pada 26 Julai lalu di antara pukul 7 petang hingga 8.15 malam.
Mengikut pertuduhan, mangsa dipercayai terkena tembakan secara tidak sengaja semasa tertuduh membersihkan senjata yang digunakan selepas memburu babi.
Senjata tersebut dipercayai meletup sendiri dan terkena pada tangan serta perut mangsa menyebabkan kanak-kanak perempuan itu maut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan iaitu membunuh tanpa niat dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Bagi pertuduhan kedua, suspek didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata (Akta 206) kerana memiliki dua laras senapang buatan sendiri pada tarikh dan tempat sama.
Jikas sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara setahun, denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
Majistret Noor Zaihan menetapkan 6 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes sebelum menjatuhkan hukuman sementara menunggu laporan akhlak remaja itu.
Tertuduh diikat jamin RM3,000 bagi kedua-dua kesalahan tersebut. Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norazlin Mohamad Yusoff.
Kosmo! pada 28 Julai lalu melaporkan, seorang kanak-kanak perempuan Orang Asli terbunuh apabila senjata buatan sendiri milik abangnya meletup.

No comments: