Pages

Wednesday, August 3, 2011

Liku-liku hidup punca tuntut harta

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Isteri ahli perniagaan Allahyarham Tan Sri Syed Kechik Syed Mohamed Al-Bukhary menjelaskan bahawa kehidupan melayari bahtera rumah tangga selama 44 tahun bersama suaminya itu adalah alasan beliau mengemukakan tuntutan harta sepencarian yang berjumlah hampir RM4 juta.Ujar Puan Sri Sofiah Moo Abdullah, 68, di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini, pelbagai perit-getir kehidupan telah dihadapi beliau sebagai isteri Allahyarham Syed Kechik, lebih-lebih lagi ketika suaminya menghidap pelbagai jenis penyakit sejak tahun 1990-an.
Jelas wanita itu, lebih merumitkan, ketika Syed Kechik diserang penyakit angin ahmar di bahagian kiri badannya, namun beliau bersyukur apabila suaminya kembali sembuh daripada penyakit tersebut dalam tempoh enam bulan.
Katanya lagi, Syed Kechik kembali pulih dalam tempoh yang singkat disebabkan oleh senaman harian yang dilakukannya sendiri tanpa mengupah pakar khas walaupun beliau mampu dari segi kewangan untuk berbuat demikian.
"Memanglah mampu dari segi kewangan, tetapi saya ingin melihat pertolongan tersebut hasil daripada tangan seorang isteri.
"Kawan-kawan Syed Kechik terkejut bagaimana Allahyarham boleh pulih daripada penyakit angin ahmar dengan cepat walaupun pada mulanya beliau tidak boleh bercakap dan bergerak,'' jelas Sofiah ketika pemeriksaan utama oleh peguam syarie yang mewakilinya, Sulaiman Abdullah.
Beliau kemudian mengesahkan bahawa 12 aset yang terdiri daripada lapan bidang tanah, dua akaun kewangan dan tiga akaun saham merupakan milik suaminya ketika beliau telah bergelar isteri kepada Syed Kechik.
Sofiah selaku plaintif memberi keterangan pada perbicaraan permohonannya untuk mendapatkan perintah agar harta pusaka peninggalan Syed Kechik yang bernilai hampir RM4 juta diisytiharkan sebagai harta sepencarian.
Dalam tuntutan yang difailkan pada 26 Julai lalu, Sofiah menyatakan, beliau berhak mendapat separuh daripada kesemua harta tersebut atau sekiranya ia dijual, nilainya diserahkan kepadanya sebagai harta sepencarian.
Sofiah menamakan anak lelaki sulung Syed Kechik menerusi perkahwinan pertama Allahyarham, Syed Gamal, 45, serta dua anak perempuan kandungnya Puan Sri Sharifah Zarah, 42, dan Sharifah Munira, 44, masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga.
Pada prosiding hari ini, Syed Gamal diwakili peguam syarie, Kamar Ainiah Kamaruzaman manakala kedua-dua adik perempuan tirinya diwakili peguam syarie, Norhusniah Husin.
Perbicaraan di hadapan Hakim Syarie, Mohamad Abdullah bersambung pada 26 September ini.
http://www.utusan.com.my

No comments: