Pages

Wednesday, August 3, 2011

Duit raya hangus terbakar


MUSTAFA memeriksa rumahnya yang hangus terbakar di Kampung Atas Tol di Kuala Terengganu semalam.



KUALA TERENGGANU – Hajat seorang bapa untuk memberikan wang saguhati persaraannya kepada anak-anaknya sempena kedatangan Aidilfitri tidak kesampaian apabila rumah yang dihuni hangus dijilat api dalam kejadian di Kampung Atas Tol dekat sini semalam.
Selain memusnahkan harta benda, kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi itu menyebabkan wang simpanan sebanyak RM2,000 milik mangsa, Mustafa Abu Bakar, 56, hangus menjadi debu.
Beliau yang merupakan bekas kakitangan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) berkata, wang itu sebelum ini telah diniatkan untuk diagihkan kepada enam anaknya yang berusia 20-an dan 30-an sempena persaraannya dan kedatangan Aidilfitri tidak lama lagi.
“Duit itu mungkin sedikit, tetapi itu adalah tanda terima kasih saya kepada anak-anak yang banyak memberi dorongan selama saya bekerja sebagai pemandu di MBKT.
“Selain itu, duit itu juga sebagai duit raya kepada mereka sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurut Mustafa lagi, isterinya, Wan Mahani Wan Omar, 57, yang tidak berada di rumah ketika kejadian turut kehilangan sejumlah wang tunai yang disimpan di dalam bilik.
“Duit itu adalah duit simpanan peribadi isteri saya dan tidak sangka pula selepas menyimpan begitu lama, duit itu hangus begitu sahaja,” ujarnya.
Menceritakan mengenai kejadian, Mustafa berkata, dia ketika itu berada di beranda rumah sebelum terdengar bunyi meletup dan apabila diperiksa api sudah marak di bahagian dapur.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Kamerul Bieza Mohamad Kassim berkata, seramai 16 anggota bersama tiga jentera dikerahkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kira-kira pukul 11.37 pagi.
Katanya, api dapat dikawal lima minit kemudian dan punca kebakaran masih disiasat.