Pages

Tuesday, August 23, 2011

Masjidil Haram penuh sesak

MAKKAH/RIYADH: Masjidil Haram di Makkah padat dengan jemaah dan pengunjung apabila beratus-ratus ribu orang dari seluruh dunia yang menunaikan ibadah umrah, tarawih dan Qiamullail mencari keberkatan Lailatul Qadar.
Jabatan Pertahanan Awam Makkah julung kalinya memberi kebenaran kepada Arab News merakam foto Masjidil Haram dari udara (melalui helikopter) pada malam 21 Ramadan lalu, atas inisiatif komander penerbangan, Mejar Jeneral Muhammad Al-Harbi. Helikopter S92 itu dipandu Kapten Abdul Aziz Al-Dhufyan dan Leftenan Muda Ziyad Al-Otaibi.

Helikopter itu terbang dari Jeddah dengan ketinggian 12,192 meter dan pada kelajuan 148 kilometer sejam.

Penerbangannya melalui daerah tengah Makkah dan jurugambar Arab News berjaya merakam beberapa foto seluruh bandar raya Makkah dari pelbagai sudut. Ia turut memfokus kepada Jam Makkah di Menara Yayasan Raja Abdul Aziz. Helikopter juga terbang melalui Misfala, Kuday, Ajyad, Hafair, Hajoun dan Aziziya yang dipenuhi kenderaan membawa jemaah dan pengunjung.

Helikopter yang berfungsi untuk melakukan operasi mencari, menyelamat dan memadam kebakaran serta membawa pesakit itu terbang selama satu jam 30 minit. Sementara Ramadan memasuki 10 hari terakhir bermula Sabtu lalu, masjid di seluruh Arab Saudi mula menunaikan ibadah Qiamullail.

“Solat khas itu dilakukan ketika 10 hari terakhir mulai jam 1 pagi,” kata imam Masjid Sheebani di daerah Nasseriyah di Riyadh, Mohammed Obaidullah.


Sepuluh hari terakhir Ramadan amat penting kerana al-Quran diturunkan buat kali pertama kepada Nabi Muhammad (SAW) pada malam Lailatul Qadar.

No comments: