Pages

Tuesday, August 23, 2011

Cip komputer menyerupai otak

NEW YORK 22 Ogos - Firma perunding dan teknologi multinasional, IBM dilapor telah membangunkan satu pemproses mikro yang hampir berjaya meniru fungsi otak manusia.
Sistem pemproses mikro itu dikatakan mampu 'menghubungkan' data sedia ada dengan pertemuan maklumat baru, sama seperti cara sinaps atau penyambung maklumat dalam otak bekerja.
Penyelidik percaya, kejayaan membangunkan teknologi itu boleh membuka laluan kepada lebih banyak penyelidikan melibatkan otak manusia.
Ketua penyelidik IBM, Dharmendra Modha berkata, kumpulannya sedang cuba membangunkan beberapa aspek minda seperti emosi, persepsi, deria rasa dan proses kognisi dengan 'mengeksploitasi kejuruteraan otak'.
Sistem yang dinamakan SyNAPSE itu menggunakan dua prototaip 'cip neurosinaps berkomputer'.
Kedua-duanya mempunyai 256 teras berkomputer, yang disifatkan saintis bersamaan neuron elektronik dalam otak manusia.
Satu daripada cip tersebut mempunyai 262,144 sinaps yang boleh diprogram, sementara satu lagi cip mengandungi 65,536 sinaps pembelajaran.
IBM bagaimanapun masih belum mendedahkan sepenuhnya bagaimana pemproses mikro SyNAPSE berfungsi, tetapi seorang pakar sains kognitif di Universiti of London, Dr Richard Cooper berkata, ia mampu menghubungkan maklumat menggunakan 'mesin maya'.
Katanya, menolak konsep hubungan yang kuat atau lemah, sistem seperti itu akan mengingati 'tumpuan' yang perlu diberi kepada setiap isyarat dan mengubahnya bergantung kepada pengalaman baru. - Agensi, utusan

No comments: