Pages

Friday, July 8, 2011

Empat remaja berlumba maut nahas



  • Foto

  • Foto
    ORANG ramai melihat kemalangan yang menyebabkan empat remaja maut di Kampung Banggol Chica, Pasir Mas, semalam.
Foto

ORANG ramai melihat kemalangan yang menyebabkan empat remaja maut di Kampung Banggol Chica, Pasir Mas, semalam.


Bentuk dua kumpulan dari arah bertentangan tunjuk kehandalan menunggang motosikal


PASIR MAS: Akibat mahu menunjukkan kehebatan berlumba, empat remaja maut apabila motosikal ditunggangi mereka bertembung antara satu sama lain, di jalan pintasan di Kampung Banggol Chica, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang itu, mangsa Raja Ahmad Muzzammil Raja Mansor, 18, dari Kampung Kubang Panjang, Mohd Fikri Mat, 19, dari Kampung Banggol Setol, Mohamad Amirul Afiq Baharon, 17, dari Kampung Kubang Pak Amin dan Abdul Muhaimin Makhtar, 21, dari Kampung Kubang Panjang, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.
Seorang saksi, Mohd Khairul Zaman Alias, 15, berkata kejadian berlaku apabila empat penunggang membentuk dua kumpulan berlumba iaitu dua penunggang dari arah kanan, manakala dua lagi dari arah bertentangan.
Beliau yang menyaksikan perlumbaan itu berkata, ketika berlumba, motosikal ditunggang Mohd Fikri tiba-tiba terbakar dan meletup menyebabkan seorang penunggang dari arah bertentangan merempuhnya, manakala dua lagi mangsa dalam kumpulan lain turut bertembung.

“Semua mangsa mahu menunjukkan kehebatan mereka menunggang motosikal kerana, ramai penonton hadir menyaksikannya. Jalan itu selalu menjadi tempat pemuda kampung menunggang serta berlumba,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Pasir Mas (HPM), malam kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, semua mangsa dipercayai berlumba di jalan baru itu dan kemalangan berlaku akibat bertembung antara satu sama lain, dengan satu daripada motosikal digunakan dalam perlumbaan itu terbakar.

Katanya, semua mangsa mati di tempat kejadian dan siasatan mendapati hanya seorang daripada mangsa mempunyai lesen memandu, manakala dua mangsa terbabit memakai topi keledar ketika berlumba.
Berita Harian Online | Empat remaja berlumba maut nahas

No comments: