Pages

Friday, July 8, 2011

‘91 individu kena sekatan’

Ambiga, Anwar, Khairy antara dilarang sertai perhimpunan

KUALA LUMPUR: Sembilan puluh satu individu daripada tiga kumpulan, iaitu BERSIH, PERKASA dan Pemuda UMNO dilarang berada atau mengambil bahagian dalam apa-apa perhimpunan di semua lokasi panas di ibu kota antara jam 8 pagi hingga 6 petang, esok.

Arahan itu dikeluarkan Polis Kuala Lumpur selepas mendapat perintah mengikut Seksyen 98 Kanun Acara Jenayah yang dikeluarkan Mahkamah Majistret di sini, semalam.
Antara yang tersenarai ialah Datuk S Ambiga, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Lim Kit Siang, Khairy Jamaluddin dan Datuk Ibrahim Ali.Enam puluh enam daripada mereka adalah daripada BERSIH, PERKASA (14) dan Pemuda UMNO (11).

Antara lokasi panas ialah sekitar Dataran Merdeka, Masjid Jamek Kampung Baru, Masjid Jamek Jalan Tun Perak, Sogo, Maju Junction, Istana Negara, Pasar Seni dan KLCC.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh, berkata permohonan mahkamah dibuat selepas siasatan dan risikan polis mendapati kehadiran individu itu boleh menimbulkan suasana tegang.

“Jika ingkar perintah ini, polis mempunyai kuasa menahan mana-mana individu terbabit selama enam bulan mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan. Perintah itu sudah dihantar ke alamat rumah semua 91 individu terbabit hari ini (semalam),” katanya semalam.
Beliau turut menegaskan larangan terhadap apa juga pakaian atau logo BERSIH 2.0 masih berkuat kuasa dan sesiapa yang menggunakannya boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Polis.

Polis turut mengumumkan penutupan beberapa jalan utama sekitar ibu kota bermula jam 12 tengah malam ini sehingga jam 10 malam esok kepada semua kenderaan, termasuk pengangkutan awam.

Orang ramai yang tidak mempunyai sebarang urusan penting dinasihatkan agar tidak memasuki kawasan larangan itu serta mematuhi segala peraturan ditetapkan, manakala penduduk di kawasan terbabit boleh memaklumkan perjalanan mereka kepada pegawai polis bertugas.

Sementara itu, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengumumkan perpindahan operasi beberapa terminal bas utama di ibu kota bermula jam 12 tengah malam ini hingga jam 10 malam esok bagi memastikan perjalanan bas ekspres tidak terganggu.

Operasi bas di Terminal Puduraya (kecuali laluan Kuala Lumpur-Seremban) dan Terminal Pekeliling dipindahkan buat sementara waktu ke Hentian Duta, manakala operasi bas di Hentian Putra dan laluan Kuala Lumpur-Seremban yang beroperasi di Puduraya dipindahkan ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS).

Bagi bas henti-henti yang memasuki Kuala Lumpur, hentian terakhir di Stesen LRT/monorel Titiwangsa untuk perjalanan dari arah Jalan Semarak, Jalan Setapak/Genting Kelang, Jalan Ipoh, Jalan Kuching dan Jalan Duta; Stesen Dato Keramat dari Jalan Ampang; Stesen LRT Maluri untuk perjalanan dari Jalan Kampung Pandan, Jalan Cheras; Stesen monorel KL Sentral - untuk perjalanan dari Lebuhraya Persekutuan masuk melalui Jalan Bangsar – Jalan Travers – Jalan Tun Sambanthan; Stesen monorel KL Sentral untuk perjalanan dari arah Jalan Damansara.
Berita Harian Online | ‘91 individu kena sekatan’

No comments: