Pages

Saturday, July 9, 2011

Akhbar News of The World ditutup


MUKA depan beberapa akhbar News of The World.


LONDON- Akhbar tabloid mingguan nombor satu Britain, News of The World akan ditutup selepas edisinya yang terakhir esok selepas ia beroperasi selama 168 tahun kerana terbabit dalam skandal pengintipan perbualan telefon membabitkan sekitar 4,000 orang.
Penutupan akhbar berkenaan dibuat ketika ia dimiliki oleh taikun media kelahiran Australia, Rupert Murdoch yang mengasaskan syarikat media global, News Corp.
Murdoch, 80, yang memiliki kewarganegaraan Amerika Syarikat (AS) dan kekayaan mencecah AS$6.3 bilion (RM18.8 bilion) tersenarai antara 100 individu paling berpengaruh di dunia oleh majalah Time.
Selain News of The World, Murdoch turut memiliki beberapa akhbar dan tabloid utama Britain seperti The Sun, The Times dan The Sunday Times.
Taikun media itu dilaporkan menutup akhbar berkenaan ketika beliau berusaha mengelakkan skandal berkenaan menjejaskan usahanya untuk mengambil alih kumpulan penyiaran utama Britain, British Sky Broadcasting pada harga tawaran AS$22 bilion (RM65.8 bilion).
"Edisi Ahad ini merupakan edisi terakhir News of The World." kata Timbalan Ketua Pegawai Operasi News Corporation, James Murdoch ketika mengumumkan penutupan akhbar berkenaan. James merupakan anak lelaki Murdoch.
Menurutnya, semua keuntungan daripada jualan edisi terakhir itu akan digunakan untuk tujuan amal.
Pengumuman mengenainya dibuat beberapa hari selepas Perdana Menteri Britain, David Cameron mengarahkan satu siasatan awam diwujudkan pada Rabu lepas untuk menyiasat skandal tersebut.
News of The World dilaporkan mencuri dengar perbualan telefon melibatkan beberapa pemimpin dan selebriti termasuk bekas datuk bandar London, Ken Livingston untuk mendapatkan berita sensasi sekali gus melariskan jualan akhbar berkenaan.

BEBERAPA anggota polis membawa beberapa barang bukti semasa keluar dari rumah bekas pengarang akhbar News of The World, Andy Coulson di London semalam.


Selain komplot mengintip perbualan telefon, News of The World turut didakwa merasuah pihak polis untuk mendapatkan berita sensasi.
Komplot mengintip perbualan telefon itu pertama kali didedahkan pada 2006, apabila polis menangkap pengarang diraja News of The World, Clive Goodman dan Glenn Mulcaire.
Goodman dipenjara empat bulan manakala Mulcaire selama enam bulan pada 2007 selepas mereka mengakui memintas perbualan telefon anggota kerabat diraja Britain termasuk Putera William.
Terbaru, polis menahan bekas pengarang News of The World, Andy Coulson yang merupakan bekas penasihat komunikasi Cameron di antara tahun 2003 hingga 2007. Polis turut menahan semula Goodman bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Setakat ini nasib lebih 200 pekerja akhbar berkenaan masih tidak dapat dipastikan.
News of the World popular dalam kalangan penduduk tempatan kerana kerap menyiarkan berita sensasi termasuk laporan eksklusif kematian Puteri Diana dan skandal mengatur perlawanan kriket melibatkan pasukan Pakistan. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia

No comments: