Pages

Saturday, July 9, 2011

Lima sekeluarga, pembantu rentung


RUMAH didiami enam mangsa hangus dalam kejadian di Kampung Jawa Dua,  Sandakan, semalam.
RUMAH didiami enam mangsa hangus dalam kejadian di Kampung Jawa Dua, Sandakan, semalam.


Litar pintas punca kebakaran, jeriji perangkap mangsa

SANDAKAN: Lima sekeluarga dan seorang pembantu rumah rentung dalam kebakaran rumah dua tingkat di Kampung Jawa Dua, Batu 12, di sini, awal pagi semalam, dipercayai akibat terperangkap berikutan gagal membuka jeriji besi yang menutupi semua pintu dan tingkap rumah berkenaan.

Kejadian yang berlaku jam 12.50 malam itu mengorbankan pasangan suami isteri warga emas, Osir Kamis, 81, dan isterinya, Kasnih Abdullah, 80; anak perempuan mereka, Zuliana Osir, 38; menantu, Rahim Hassan, 47; cucu, Yulia Ezora Rahim, 3, serta pembantu rumah dipercayai warga Indonesia berusia 20-an.
Ketika kejadian, Osir dan Kasnih serta pembantu rumah dipercayai tidur di bilik tingkat bawah, manakala Zuliana bersama suami dan anak mereka tidur di tingkat atas.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Superintendan Rowell Marung, berkata mangsa dipercayai tersedar daripada tidur apabila merasai bahang api yang merebak dengan cepat dan berusaha mencari jalan keluar tetapi tidak berjaya.

Ia berdasarkan penemuan mayat Rahim berhampiran sebuah tingkap dan maklumat saksi yang ternampak mangsa cuba keluar dari tingkap di tingkat atas rumah separuh papan itu tetapi gagal akibat dihalang jeriji besi yang berkunci.

Katanya, jiran terdekat keluarga malang itu yang terletak 500 meter menyedari kebakaran berkenaan berdasarkan cahaya terang dari rumah mangsa.

“Jiran yang tiba di tempat kejadian ternampak mangsa cuba keluar melalui tingkap dan turut terdengar jeritan meminta tolong tetapi tidak dapat menghulurkan bantuan kerana bahang api terlalu panas,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Kebakaran dipercayai disebabkan litar pintas berikutan gangguan bekalan elektrik di kampung berkenaan beberapa minit sebelum kejadian.

Mangsa dipercayai gagal menemui kunci pintu dan jeriji besi kerana panik apabila api tiba-tiba merebak menyebabkan mereka terperangkap dan akhirnya rentung dijilat api.

Kesukaran kedua-dua warga emas itu bergerak dengan Kasnih yang berkerusi roda turut dipercayai menyukarkan usaha mangsa menyelamatkan diri.

Sementara itu, Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Sandakan, Alias Abu, berkata pihaknya yang menerima panggilan kecemasan pada jam 1.15 pagi mengambil masa 30 minit untuk sampai di tempat kejadian.

“Ketika bomba tiba, rumah berkenaan sudah 98 peratus terbakar. Ketika itu harapan untuk menyelamatkan mangsa yang hidup sudah tiada.

“Bomba hanya mengawal kebakaran dan berjaya memadam api pada jam 2.40 pagi,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Jenazah Osir dan Kasnih dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rancangan Sungai Manila, Sandakan manakala jenazah Zuliana, Rahim dan anak mereka dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Kayu, Sandakan, selepas solat Jumaat semalam. Berita Harian Online | Lima sekeluarga, pembantu rentung

No comments: