Pages

Friday, June 24, 2011

Susilo kecam Arab Saudi pancung amah

JAKARTA 23 Jun - Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono (gambar) mengutuk hukuman pancung yang dilaksanakan oleh Arab Saudi ke atas pembantu rumah negara ini, Ruyati binti Sapubi dan menuduh Riyadh melanggar 'norma dan adab' perhubungan antarabangsa.

Selepas berdiam diri berhubung isu itu, Susilo hari ini menjelaskan beliau sudah mengutus surat kepada pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah Bin Abdul Aziz bagi menyampaikan protes kerajaan Indonesia terhadap pihak berkuasa Arab Saudi berhubung hukuman pancung itu.

Pada sidang media di pejabatnya di sini, Susilo dengan tegas berkata, beliau telah mengemukakan 'bantahan keras' kepada kerajaan Arab Saudi berhubung hukuman pancung yang dijalankan ke atas Ruyati pada Sabtu lalu atas kesalahan membunuh isteri majikannya.

Kenyataan beliau menggambarkan kemarahan Indonesia yang semakin meningkat dengan layanan buruk yang diterima oleh tenaga kerjanya di negara-negara Teluk, berikutan beberapa kes penderaan dan pembunuhan pembantu rumah Indonesia.

"Minggu ini kita terkejut dengan hukuman mati yang dijalankan ke atas Ruyati dan seperti semua rakyat Indonesia, saya juga melahirkan rasa sangat sedih dengan tragedi ini.

"Saya turut menyuarakan bantahan keras kepada kerajaan Saudi yang melanggar norma dan adab dalam perhubungan antarabangsa dengan melaksanakan hukuman mati itu," kata Susilo.

Indonesia marah kerana Riyadh gagal memaklumkan Jakarta bahawa Sapubi, 54 akan menjalani hukuman pancung.

Sehubungan itu, katanya, Indonesia akan membekukan penghantaran pekerja ke Arab Saudi berkuatkuasa 1 Ogos ini, sebagai tanda protes terhadap tindakan Arab Saudi memancung Ruyati.

Kata Susilo, Jakarta sedang menimbang pembekuan serupa di negara Teluk yang lain di mana terdapat kes tenaga kerja Indonesia turut didera dan dieksploitasi.

Kenyataan itu tidak memberi butir lanjut tetapi media tempatan berkata, langkah itu ditujukan kepada pembantu rumah yang merupakan kira-kira 70 peratus daripada 1.2 juta pekerja Indonesia di Arab Saudi.

Keputusan berkenaan dibuat pada mesyuarat Kabinet Rabu lalu.

"Pembekuan penghantaran tenaga kerja akan berlaku sehinggalah kedua-dua negara mencapai persepakatan perlindungan ke atas pekerja Indonesia di Arab Saudi," kata Susilo. - Utusan

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments: