Pages

Friday, June 24, 2011

Ahli parlimen Belanda dibebaskan dari tuduhan buat kenyataan membenci Islam

AMSTERDAM: Sebuah mahkamah Amsterdam semalam membebaskan seorang penggubal dasar berhaluan kanan Belanda, Encik Geert Wilders, daripada pertuduhan membuat kenyataan membenci dan mendiskriminasikan dalam serangannya terhadap Islam.

'Anda dibebaskan atas semua pertuduhan yang dikenakan ke atas anda,' kata Hakim Marcel van Oosten, sambil mengulangi lagi hujah bulan lalu oleh pihak pendakwaan bahawa pertuduhan ke atas Encik Wilders harus dibatalkan.

'Lembaga kehakiman mendapati bahawa kenyataan-kenyataan anda boleh diterima dalam konteks perdebatan awam,' kata hakim itu kepada Encik Wilders, 47 tahun, yang dibicarakan di mahkamah daerah Amsterdam itu sejak Oktober tahun lalu.

Ahli parlimen itu menghadapi lima pertuduhan membuat kenyataan yang membenci dan mendikriminasikan Islam dalam laman web, forum-forum Internet dan akhbar-akhbar Belanda antara Oktober 2006 dengan Mac 2008, serta dalam filem 17 minit buatannya yang diberi tajuk 'Fitna'.

Pembebasan pemimpin Parti bagi Kebebasan (PVV) berhaluan kanan itu dibuat selepas pihak pendakwaannya menunjukkan sikap bahawa mereka tidak bersedia meneruskan kes tersebut ke atas beliau, yang mendakwa di hadapan mahkamah bahawa beliau sedang 'mempertahankan kebebasan di Belanda' menentang ajaran Islam.

Encik Wilders - salah seorang ahli parlimen Eropah yang dikawal rapi - telah meminta pembebasannya di hadapan mahkamah sambil berkata bahawa beliau 'wajib berbicara' kerana Belanda sedang 'berada di bawah ancaman' Islam.

Encik Wilders, pemimpin parti yang menyokong pakatan pemerintah Belanda berhaluan kanan, berkata beliau 'mempertahankan ciri, identiti, budaya dan kebebasan Belanda'.

Kes Encik Wilders itu telah 'dibantu' oleh satu pasukan pendakwaan yang agak keberatan, yang pada bulan lalu meminta mahkamah supaya beliau dibebaskan, sambil berkata bahawa, walaupun ulasan beliau mungkin kerap mencetuskan kebimbangan dan penghinaan, ia bukan satu jenayah kerana ia mengkritik Islam sebagai satu agama dan bukannya penganut Islam sebagai satu masyarakat. -- AFP.

Cyberita Online Luar Negara

No comments: